126 SD didakwa pembangkang cuma permainan politik
MUAR - Dakwaan pembangkang memiliki 126 akuan bersumpah (SD) sokongan Ahli Parlimen disifatkan sebagai tindakan terdesak dan permainan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, konspirasi menjatuhkan Kerajaan Perpaduan menggunakan SD tersebut hanyalah sebahagian daripada strategi pihak ‘lawan’ untuk memberikan harapan palsu.
"Mereka tahu jika mereka tidak memberi harapan seperti ini ( dakwaan ada 126 SD) penyokong dan ahli mereka mungkin tidak begitu bersemangat untuk melawan pada PRN.
"Bagi kita ia (dakwaan ada 126 SD) hanyalah permainan politik pembangkang untuk tampil meyakinkan di mata penyokong mereka.
"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, sudah membuat cabaran terbuka, jika pembangkang ada nombor, buktikan di Parlimen yang akan mula bersidang mulai 22 Mei ini," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen DAP Johor, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Veteran DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong, Timbalan Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching dan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali.
Sebelum ini, media melaporkan Anwar mencabar pembangkang membawa SD menyatakan sokongan Ahli Parlimen ke Parlimen jika benar ada sokongan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Sejak beberapa hari lalu pimpinan pembangkang menggunakan media sosial untuk mendakwa ia ada sokongan sehingga 126 ahli Parlimen.
Pada Sabtu, pembangkang dilaporkan menolak anggapan bahawa ia 'mengigau' memiliki SD sokongan ahli Parlimen untuk menumbangkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengigau kerana khuatir jawatannya diambil alih.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut menolak dakwaan pembangkang mempunyai SD yang mencukupi daripada ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai perdana menteri seterusnya
"Sesiapa sahaja boleh mendakwa mempunyai SD yang mencukupi. Permainan SD ini sudah lama wujud dan tidak lebih daripada permainan politik.
"Sepanjang saya terlibat dalam politik dan menjadi ahli Parlimen sejak 2008, sudah banyak kali saya dengar tentang SD ini," ujarnya.
Sementara itu, beliau terus menzahirkan komitmen penuh DAP untuk terus menyokong kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
Katanya, Kerajaan Perpaduan kekal kukuh dengan sokongan 82 ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) ditambah dengan komitmen yang dinyatakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!