Maritim Malaysia selamatkan empat pemancing terkandas

Empat pemancing terkandas diselamatkan anggota Maritim Malaysia, Selangor di perairan Pulau Tengah pada Sabtu.
Empat pemancing terkandas diselamatkan anggota Maritim Malaysia, Selangor di perairan Pulau Tengah pada Sabtu.
A
A
A

KLANG - Empat pemancing terkandas selama enam jam sebelum diselamatkan anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor di perairan Pulau Tengah dekat sini pada Sabtu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor, Kepten Maritim V Siva Kumar berkata, gerakan mencari dan menyelamat dijalankan setelah Pusat Operasi (PUSOP) Maritim Selangor telah menerima aduan daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru.

Menurut beliau, keempat mangsa dikenali sebagai Arfan Rafiq Asfian, 18, Asfian Abu Bakar, 44, Zamri Che Ani, 45, dan Ahmad Ali, 66.

"Aduan diterima sekitar jam 9.45 malam berkaitan sebuah bot pancing yang rosak dan terkandas yang dinaiki empat pemancing di kedudukan 1.6 batu nautika selatan Pulau Tengah.

"Sejurus menerima maklumat, bot Perkasa 36 yang sedang dalam rondaan operasi telah diatur gerak ke lokasi," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, keempat-empat mangsa ditemukan memakai jaket keselamatan berjaya diselamatkan dan dibawa ke jeti Polis Marin, Pulau Indah.

"Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan manakala bot pemancing terpaksa ditinggalkan di lokasi dalam keadaan bersauh kerana mengalami kebocoran.

"Operasi menyelamat kemudian ditamatkan kira-kira jam 1.35 pagi," katanya.

Dalam pada itu, Siva Kumar berkata berkata, pihaknya menyarankan agar peminat sukan memancing meningkatkan tahap kesedaran keselamatan yang tinggi dan mengambil

langkah yang bijak dengan memakai jaket keselamatan.

"Komuniti pemancing juga diingatkan agar menyimpan nombor talian kecemasan 999 dan adalah lebih baik untuk memiliki peranti kecemasan peribadi 'Personal Locator Beacon'.

"Alat ini boleh membantu pasukan penyelamat bagi mengesan kedudukan pemilik peranti bagi tujuan menyelamat di saat kecemasan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!