Rezeki empat sekeluarga tunai haji bersama
KUANTAN - Doa dan harapan empat beranak dari Bandar Pusat Jengka untuk mengerjakan ibadah haji bersama dimakbulkan apabila nama mereka tersenarai dalam kumpulan jemaah yang terpilih untuk berangkat ke tanah suci Makkah tahun ini.
Panggilan dari pihak Tabung Haji (TH) kira-kira dua minggu sebelum hari raya Aidilfitri lalu amat menggembirakan mereka selepas menunggu peluang itu sejak 2008.
Bagi Azlina Adam, 53 yang bertugas sebagai guru, dia bertuah kerana dan menunaikan ibadah itu bersama suami, Ahmad Omar, 54 dan dua anak mereka, Muhammad Amar Faeez, 21 dan Nur Amira Faeezah,16.
Menurutnya, mereka sekeluarga mendaftar serentak pada 2008 namun tidak menjangkakan dapat menjejak kaki ke tanah suci bersama tahun ini.
"Saya jangkakan mungkin hanya pergi berdua dahulu bersama suami namun Allhamdulillah anak-anak juga dapat peluang ini.
"Segala urusan dengan pihak TH telah selesai dan kini hanya menunggu tarikh untuk berangkat," katanya ketika ditemui Majlis Perasmian Kursus Haji Perdana dan Penyampaian Insentif Haji Peringkat Negeri Pahang 2023 di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Ahad.
Azlina dan empat ahli keluarganya itu antara hampir 2,000 bakal jemaah haji dari Pahang yang akan menunaikan ibadah haji tahun ini.
Sementara itu, Nur Amira Faeezah yang merupakan antara bakal jemaah haji paling muda dari Pahang gembira atas peluang yang diterima itu.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka Pusat itu berkata, dia tidak jangka dapat menunaikan ibadah haji pada usia muda.
"Lebih manis lagi dapat menunaikan ibadah ini bersama ibu, bapa dan abang.
"Saya sudah tidak sabar untuk berangkat ke tanah suci menunaikan rukun Islam kelima ini," ujarnya.
Sementara itu, seorang warga emas, Parinah Dolah, 75 dari Felda Keratong 4, Muadzam Shah lega apabila dapat menunaikan ibadah haji tahun ini bersama anak sulungnya, Hamimah Roslan,56.
Walaupun sihat dan tidak mempunyai sebarang penyakit, dia memerlukan seorang pengiring untuk membantu menyempurnakan ibadah hajinya nanti memandangkan usianya telah lanjut.
"Awalnya saya merancang untuk ke tanah suci bersama suami namun hasrat itu tidak kesampaian apabila dia (suami) meninggal dunia dua tahun lalu.
"Syukur tempatnya dapat digantikan dengan anak sulung yang akan bersama berangkat nanti," katanya.
Parinah berkata, dia telah lama berhasrat untuk berangkat menunaikan haji selepas mendaftar dengan TH sejak hampir 15 tahun lalu.
"ALLAH beri peluang apabila dimaklumkan saya dan anak tersenarai sebagai kumpulan bakal jemaah haji tahun ini.
"Syukur sangat-sangat dan memang tidak sabar untuk menjejak kaki ke sana," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!