Digantung UMNO: Tajuddin yakin terima berita gembira
PASIR SALAK - Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berharap akan menerima khabar positif berhubung rayuan pergantungannya sebagai ahli UMNO.
Menurut Tajuddin, beliau meletakkan harapan yang besar terhadap keputusan rayuan itu bagi meneruskan perkhidmatannya atas tiket parti itu.
"Saya ucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas kenyataan kerana nampaknya ada harapanlah kerana ia akan dibawa kepada MKT.
"Kalau boleh biarlah cepat, saya pun tunggu lama dan saya rasa penuh yakin keputusannya positif," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kampung Gajah di sini pada Ahad.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut menyatakan permohonan maaf terhadap Ahmad Zahid sebagai Presiden UMNO kerana kelantangannya dalam mengkritik parti.
"Beberapa rayuan diberikan dan semalam (Sabtu) satu lagi surat rayuan ditulis. Sebagai Pengarah Pilihan Raya dan MKT saya tiada salah cuma kerana bersuara lantang dalam isu-isu berkepentingan parti.
"Mungkin Datuk Seri (Ahmad Zahid) terasa hari dengan kenyataan-kenyataan itu, saya sekali lagi mohon maaf. Dalam isu ini, saya hendak selesaikan cara baik kerana saya sayangkan UMNO," katanya.
Menurut Tajuddin yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO, beliau sedia membantu kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sekiranya keahlian beliau dikembalikan.
"Jika dilepaskan penggantungan itu, saya jadi ahli parti yang aktif berkempen untuk UMNO. Saya sudah hulur tangan persahabatan, yang sudah itu sudahlah. Saya harap mereka dapat menerima huluran tangan persahabatan demi parti.
"Saya bersedia hadapi kemungkinan sama ada terima atau tidak. Saya tidak akan berputus asa perjuangan dengan UMNO," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!