'Kerajaan hari ini paling teruk sebab kita tak sakau duit' - PM

Anwar (tiga, kanan) bersama Ahmad Zahid (tiga, kiri) diiringi Aminuddin (lima, kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Ahad. - Foto Bernama
Anwar (tiga, kanan) bersama Ahmad Zahid (tiga, kiri) diiringi Aminuddin (lima, kanan) bersalaman dengan orang ramai ketika hadir Rumah Terbuka Aidilfitri Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Wisma Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis berkata bahawa Kerajaan Perpaduan dituduh sebagai kerajaan paling teruk dalam sejarah negara oleh pembangkang kerana berjaya membuktikan tidak berlaku budaya menyakau duit rakyat.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan memerintah negara, arahan telah dikeluarkan bahawa segala tender perlu diurus dengan teratur, tidak mengambil apa-apa komisen, tanah, saham atau balak daripada pihak tertentu.

Malah katanya, rekod itu dapat dipegang sehingga sekarang.

"Ada pemimpin pembangkang yang kata Perdana Menteri dan kerajaan hari ini adalah paling teruk dalam sejarah...

"Teruk sebabnya kita tidak sakau duit dan tidak zalim serta menindas mana-mana kalangan malah kita telah menambah peruntukan untuk kerajaan Negeri Sembilan, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri Kerajaan Negeri Sembilan dan Malaysia Madani di Majlis Bandaraya Seremban di sini pada Ahad.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Tambah Anwar, kerajaan juga akan membasmi kemiskinan semua rakyat tanpa ada pengecualian di setiap negeri.

Selain itu beliau sekali lagi mencabar mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai sokongan cukup bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan untuk membawa usul itu ke sidang Parlimen bulan ini.

"Silakan...kita akan bertempur di Parlimen dan tengok siapa yang ada kekuatan.

"Jika tidak, riuh rendah, bisik sana dan sini 126 dan 114. Kita akan bagi laluan dan saya tidak akan gantung Parlimen dan darurat kerana saya nak matikan keluh kesah soal ketidakstabilan politik negara ini," katanya.

Jelasnya, apa yang mahu diberi tumpuan ketika ini adalah untuk membela nasib dan kebajikan rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!