Polis buru dua penunggang buat aksi 'wheelie'

Tangkap layar menunjukkan aksi bahaya dilakukan dua penunggang motosikal.
Tangkap layar menunjukkan aksi bahaya dilakukan dua penunggang motosikal.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Polis masih memburu dua penunggang motosikal yang tular melakukan aksi 'wheelie' di jalan raya di daerah ini.

Rakaman itu turut memaparkan seorang daripada individu berkenaan turut berdiri di atas motosikal dengan sebelah kakinya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintenden Ramli Kasa berkata, aksi itu dikesan menerusi rakaman video berdurasi 23 saat memaparkan dua individu menunggang motosikal secara berbahaya.

"Polis sedang mempergiatkan usaha mengesan dua individu yang terlibat dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Ramli berkata, kertas siasatan dibuka pihaknya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Siasatan lanjut masih dijalankan dan perbuatan ini membahayakan nyawa bukan saja diri sendiri tetapi kepada pengguna jalan raya lain," ujar beliau.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil bagi membuat aduan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Najmi di talian 017- 8028105 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!