KKM laksana penilaian risiko situasi Covid-19 pertengahan Jun

Dr Zaliha menjawab soalan pada sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan peringkat zon selatan di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar pada Ahad. - Foto Bernama
Dr Zaliha menjawab soalan pada sesi Town Hall Kertas Putih Kesihatan peringkat zon selatan di Hub Pendidikan Tinggi Pagoh, Muar pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

MUAR - Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan penilaian risiko situasi jangkitan Covid-19 pada pertengahan bulan hadapan susulan pengumuman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang memutuskan wabak itu bukan lagi dikategorikan sebagai kecemasan kesihatan global.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, penilaian itu bertujuan menyemak semula pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang akan berakhir pada 30 Jun itu, sebelum kerajaan menentukan hala tuju seterusnya melibatkan langkah perlindungan terkini mengenai Covid-19.

Beliau berkata, walaupun WHO mengumumkan wabak itu bukan lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa, KKM masih perlu mengambil kira faktor yang berlaku secara lokal di negara ini.

"Kita di peringkat jawatankuasa teknikal, telah memberi pandangan bahawa kita akan teruskan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dan kita masih kekalkan lagi kawasan tempatan jangkitan yang akan berakhir Jun ini.

"Kita nak tengok lagi perkembangan sebab ada lagi kes Covid-19 tetapi masih terkawal, segala pandangan (WHO) dan keadaan di negara ini pun kita kena lihat terlebih dahulu sebelum menerima pakai saranan WHO. Jadi, pertengahan Jun nanti kita akan buat penilaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pada sidang media selepas Sesi Townhall Kertas Putih Kesihatan Zon Selatan di Hab Pendidikan Tinggi, Pagoh di sini pada Ahad.

Dr Zaliha berkata, KKM juga akan membuat semakan semula dan mengemaskini garis panduan Covid-19 dengan merujuk kepada cadangan WHO berkaitan transisi pengurusan jangka masa panjang pandemik berkenaan.

Semalam, agensi berita asing melaporkan WHO pada Jumaat memutuskan Covid-19 tidak lagi dikategori sebagai kecemasan kesihatan antarabangsa selepas dunia dilanda pandemik itu sejak tiga tahun lepas.

Mengenai Kertas Putih Kesihatan, Dr Zaliha berkata, ia akan menjadi permulaan perjalanan reformasi sistem kesihatan Malaysia ke arah yang lebih mampan dan berdaya saing, selain mendapat sokongan seluruh masyarakat dan kerajaan.

Menurutnya, Kertas Putih Kesihatan itu akan dibentangkan di Parlimen pada bulan depan bagi mendapatkan sokongan dwipartisan ahli Parlimen sebelum langkah pelaksanaannya dapat dijalankan.

Sementara itu, Dr Zaliha dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah kes Covid-19 yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi ke-18 (ME 18/2023) iaitu dari 30 April hingga 6 Mei, meningkat 53.1 peratus daripada 4,963 kes pada minggu sebelumnya kepada 7,596 kes.

"Kadar kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk pesakit yang disyaki) ke fasiliti kesihatan awam juga menunjukkan peningkatan daripada 5.8 peratus kepada 7.2 peratus bagi setiap 100,000 penduduk pada ME 18/2023 berbanding ME 17/2023,” katanya sambil menambah keadaan jangkitan di Malaysia masih terkawal dan perkhidmatan kesihatan di hospital tidak terjejas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!