Karate cemerlang, sumbang dua lagi emas

Sureeya (kanan) mengungguli acara kumite bawah 60kg untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Kemboja pada Ahad. - Foto Bernama
Sureeya (kanan) mengungguli acara kumite bawah 60kg untuk menghadiahkan pingat emas buat kontinjen negara dalam Sukan SEA Kemboja pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD karate meneruskan momentum positif apabila menghadiahkan dua lagi pingat emas buat kontinjen negara menjadikan jumlah keseluruhan kepada empat.

Dua emas itu hasil sumbangan pembawa Jalur Gemilang, R Sharmendran dan H Sureeya Sankar pada Sukan SEA Kemboja 2023 pada Ahad.

Sureeya yang beralih ke kelas kumite bawah 60 kilogram (kg) mengatasi lawan dari Indonesia, Ari Saputra 13-5 dalam aksi final di Dewan A Pusat Konvensyen Chroy Changvar.

Ia adalah emas kedua Sureeya dalam temasya dwitahunan itu selepas meraih emas pada penampilan pertamanya pada temasya Vietnam 2021.

Ketika itu dia menang emas kumite bawah 67kg.

Sharmendran pula meneruskan penguasaannya pada temasya dwitahunan itu selepas memenangi pingat emas keempatnya menerusi acara bawah 75kg lelaki.

Sharmendran menewaskan Sot Panith dari Kemboja 6-5 di Dewan A Pusat Konvensyen Chroy Changvar pada Ahad.

Atlet berasal dari Balakong, Selangor itu muncul juara menerusi acara sama sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.

Dia yang mencecah usia 30 tahun akan berusaha untuk merangkul pingat emas keduanya di Sukan SEA Kemboja dalam acara berpasukan lelaki pada Isnin.

Kem karate pada Sabtu menyumbang dua emas menerusi C Shamalarani yang menewaskan wakil Filipina, Junna Tsukii dalam acara kumite wanita bawah 50kg.

S Prem Kumar turut mencatat nama selaku penyumbang emas selepas mengatasi atlet Thailand, Chanpet Setthapong dalam acara kumite lelaki bawah 55kg.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!