'Ngoca' beri pengalaman berharga kepada generasi muda
ALOR GAJAH - Biarpun meredah lumpur, menyertai program 'ngoca' atau menimba ikan memberikan pengalaman menarik dan berharga kepada generasi muda pada masa kini, yang tidak terdedah kepada aktiviti itu.
Seorang penduduk Nazaliza Mat Nazri, 37, berkata, dia membawa dua anaknya menyertai program ngoca itu membolehkan mereka merasai pengalaman menangkap ikan secara tradisional seperti pada zaman kecilnya dahulu.
"Acara seperti ini bukan selalu diadakan jadi bila ada peluang dan kesempatan kita bawa mereka untuk sertai ngoca ikan supaya mereka dapat lihat dan rasai pengalaman baharu yang kini jarang-jarang diadakan.
"Jika baju kotor itu boleh dicuci tetapi lebih penting mereka rasa seronok dan dapat lakukan riadah bersama rakan-rakan sebaya lain," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.
Terdahulu kira-kira 200 peserta pelbagai lapisan umur menyertai program ngoca itu di sebatang tali air sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kuala Sungga, Tebong di sini.
Seorang peserta cilik Ahmad Zawawi Zulkifli, 11, berkata, dia berasa seronok dan teruja dapat menimba pengalaman itu kerana dapat menangkap ikan seperti sepat dan sembilang dengan tangan.
Bagi Muhammad Irfan Firdaus Ambia, 9, pula, walaupun meredah lumpur tetapi dia sangat gembira dapat menangkap ikan beramai-ramai dengan penduduk kampung di samping bertemu dengan rakan-rakan baharu.
Sementara itu Nur Kholiq Ahmad Tohir, 31, yang memenangi hadiah utama pada program ngoca itu berkata, dia yang bekerja sebagai pekerja ladang berhampiran juga sering menangkap ikan di kawasan itu pada waktu lapang sebagai hobi.
Dia yang berasal dari Tanah Jawa, Indonesia, berjaya menangkap ikan sembilang seberat empat kilogram menggunakan tangan selepas setengah jam cuba mencari di celahan tanah dan tali air.
"Dahulu di kampung saya juga selalu lakukan aktiviti menangkap ikan seperti ini, sememangnya rasa gembira kerana dapat turut serta dan penduduk kampung juga mengalu-alukan saya untuk tangkap ikan bersama mereka," katanya.
Sementara itu Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem berkata, program ngoca itu dilihat aktiviti riadah yang boleh diketengahkan sebagai program tahunan bagi memastikan acara tradisi turun temurun masyarakat itu tidak dilupakan oleh generasi akan datang.
"Aktiviti ngoca iaitu aktiviti menangkap ikan beramai-ramai menggunakan tangan di kawasan sungai, tali air atau kolam itu juga dilihat dapat mengeratkan hubungan masyarakat dan mewujudkan komuniti harmoni dan saya juga mengalakkan program ini dapat diadakan pada masa akan datang," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!