580 individu ditahan terlibat judi dalam talian di Johor

Polis menahan 580 individu disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian di Johor sejak 1 Januari hingga Sabtu. - Gambar hiasan
Polis menahan 580 individu disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian di Johor sejak 1 Januari hingga Sabtu. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 580 individu yang disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian dalam 554 serbuan menerusi Op Dadu Khas di Johor sejak 1 Januari hingga Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kesemua yang ditahan berusia 17 hingga 60 tahun, yang terdiri daripada 562 penjaga premis dan 18 pemain judi.

Beliau berkata, 44 premis diambil tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB), manakala lapan premis telah mendapat kelulusan pembatalan lesen daripada pihak berkuasa tempatan.

"Kita turut merampas 606 unit telefon bimbit pelbagai jenama, tujuh unit tablet, enam unit komputer riba dan wang tunai berjumlah RM190,890," katanya menerusi satu kenyataan, pada Ahad.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM50,000 dan penjara maksimum tiga tahun, jika disabit kesalahan.

Kamarul Zaman berkata, tahun lepas 1,080 individu ditahan melibatkan 1,012 penjaga premis dan 68 pemain judi dalam talian, semuanya berumur antara 17 dan 60 tahun.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berhubung kegiatan perjudian dalam talian, orang ramai boleh menyalurkan maklumat kepada balai polis berhampiran atau pun bilik gerakan polis Johor di talian 07-221 2999 atau 07-225 4677," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!