Sukan SEA: Kem renang tuai satu lagi gangsa
HANYA satu pingat gangsa berjaya dituai barisan perenang kebangsaan pada hari kedua saingan renang Sukan SEA 2023 yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo, di sini pada Ahad.
Pingat gangsa negara hadir menerusi kuartet 4x200 meter (m) gaya bebas lelaki dibarisi Khiew Hoe Yean, Arvin Shaun Singh Chahal, Tan Khai Xin dan Lim Yin Chuen selepas mencatat masa 7 minit dan 21.55 saat (s) pada aksi final.
Kilauan emas menjadi milik Vietnam dengan catatan masa 7:18.51s manakala perak dimenangi Singapura selepas merekod 7:21.50s.
Keputusan itu menyaksikan kuartet negara gagal menyamai pencapaian edisi 2021 di Hanoi, Vietnam pada tahun lepas apabila membawa pulang perak.
"Ia renangan yang hebat, ini pasukan yang baharu, jadi kami mencuba perenang baharu... kami membina keserasian baharu jadi saya rasa 7:21s ialah masa yang baik,” kata Hoe Yean ketika ditemui selepas perlumbaan itu di sini.
Acara itu ialah satu daripada tujuh final yang disertai wakil negara, selain antaranya 50m gaya bebas lelaki yang menyaksikan Bryan Leong sekadar menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Dalam acara 50m kuak lentang lelaki, Arvin Shaun mengakhiri saingan di tempat kelapan manakala dalam acara 100m kuak dada lelaki menyaksikan Andrew Goh dan Hii Puong Wei masing-masing berada di tempat kelima dan kelapan.
Pencapaian kurang memuaskan itu turut menghantui perenang wanita negara selepas Chong Xin Lin sekadar menamatkan saingan 50m kuak lentang di tempat kelima manakala Kelly Teo menduduki tempat ketujuh 200m gaya bebas dan Tan Rouxin kelapan 200m medley individu.
Semalam, kem renang negara turut meraih satu gangsa menerusi Phee Jinq En dalam acara 50m kuak dada wanita. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!