Malaysia tambah empat pingat emas, naik ke kedudukan ketujuh

Pesilat negara yang juga pasangan kembar Muhammad Danial Azrol Noorazizan (kanan) dan Muhammad Danial Azray Noorazizan menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara Silat Seni Ganda pada Sukan SEA 2023. - Foto: Bernama
Pesilat negara yang juga pasangan kembar Muhammad Danial Azrol Noorazizan (kanan) dan Muhammad Danial Azray Noorazizan menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara Silat Seni Ganda pada Sukan SEA 2023. - Foto: Bernama
A
A
A
MALAYSIA pada Ahad menambah empat pingat emas sekali gus menyaksikan kedudukan kontinjen negara naik dua anak tangga ke tempat ketujuh selepas berakhir saingan hari kedua temasya Sukan SEA 2023, yang membuka tirai secara rasmi pada Jumaat.

Skuad karate terus menampilkan aksi cemerlang apabila menyumbangkan dua pingat emas, manakala pencak silat dan petanque masing-masing menceriakan kem negara dengan satu emas.

Pungutan empat pingat emas itu menyaksikan kontinjen negara kini mengutip keseluruhan enam emas, 10 perak dan 13 gangsa.

Tuan rumah, Kemboja terus berada di tempat teratas dalam carta kedudukan pingat selepas meraih 29 pingat emas, 21 perak dan 22 gangsa, diikuti Thailand yang memenangi 16-17-26 manakala Indonesia dengan 16-11-24.

Namun begitu, harapan kontinjen negara untuk menambah koleksi emas menerusi acara hoki dalam dewan tidak kesampaian apabila kedua-dua pasukan lelaki dan wanita yang disasarkan menyumbangkan emas susulan status sebagai juara bertahan, gagal berbuat demikian apabila tewas di pentas final.

Selain karate yang dijangka menyumbangkan pingat emas dalam acara kumite berpasukan lelaki, yang menyaksikan mereka selaku juara bertahan, hari ketiga esok juga akan menyaksikan beberapa acara akan membuka saingan, termasuk terjun dan olahraga.

Skuad terjun yang muncul pasukan paling cemerlang pada edisi di Hanoi, Vietnam, tahun lepas apabila menyapu bersih lapan pingat emas, menjadi taruhan terbaik kontinjen negara bagi menambah kilauan emas.

Begitu juga olahraga yang menyasarkan 10 pingat emas pada temasya kali ini, dengan Jackie Wong dan Grace Wong yang masing-masing meraih emas dalam acara tukul besi lelaki dan wanita di Hanoi, akan turun bersaing di Stadium Nasional Morodok Techo, esok. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!