Hasil sawit terkesan akibat cuaca panas
SHAH ALAM - Cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos secara tidak langsung telah menyebabkan beberapa pertanian negara mengalami kemerosotan.
Menurut bekas pesara guru, Jamaluddin Johan, 68, pendapatan bulanan hasil daripada tanaman sawit seluas lima ekar miliknya menunjukkan penurunan sebanyak 30 peratus.
Jamaluddin memberitahu, keadaan itu bukan sahaja berlaku kepada dirinya tetapi pengusaha ladang kelapa sawit yang lain juga.
“Sejujurnya saya tidak menyangka cuaca panas ini boleh memberi kesan kepada pengeluaran sawit sehinggalah rakan-rakan yang lain turut berkongsi cerita mengenai pendapatan bulanan mereka juga merosot.
“Apabila keadaan itu berlaku (pendapatan berkurang), ia menyebabkan kuasa beli barangan semakin berkurang. Kami terpaksa berjimat dan berhati-hati membuat perbelanjaan memandangkan kos sara hidup pada masa ini tinggi,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Jamaluddin menjelaskan, berikutan pengurangan hasil tanaman ia juga mengakibatkan para peladang tidak mampu untuk membuat pembelian baja dan racun tanaman.
Tambahnya lagi, harga bagi satu guni baja adalah RM140 dan ia merupakan amaun yang besar jika mahu dibandingkan dengan jumlah pendapatan diterima.
“Kami para peladang terpaksa berjimat dalam berbelanja semata-mata mahu mengumpul wang untuk membuat pembelian baja tanaman sawit.
“Jika pokok sawit tidak dibaja, ia akan memberi kesan lebih buruk yang mana, kami berkemungkinan berhadapan dengan masalah pengeluaran hasil selama empat hingga enam bulan,” ujarnya yang memiliki kebun sawit di Lanchang dan Karak, Pahang.
Dalam pada itu, Jamaluddin berharap agar kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada peladang-peladang sawit yang terkesan dengan pemberian baja tanaman secara percuma atau insentif kemarau bagi membantu memulihkan pertanian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!