Kakak maut, adik parah motosikal terbabas
BENTONG - Seorang wanita maut manakala adik lelakinya cedera parah selepas motosikal dinaiki mereka terbabas di Kilometer 53.7 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di sini pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, penunggang motosikal, Farah Amira Samsuri, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala manakala pembonceng yang juga adiknya berusia 15 tahun cedera parah.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar memberitahu, ketika kejadian motosikal tersebut dari arah Kuala Lumpur menghala Raub.
Menurutnya, hasil siasatan dan berdasarkan kesan-kesan kerosakan, pihak polis mendapati apabila sampai di tempat kejadian dipercayai motosikal itu telah hilang kawalan semasa melalui sebuah selekoh.
"Kejadian itu menyebabkan motosikal tersebut terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri jalan.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala pembonceng pula cedera parah dan telah dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Dalam pada itu, Zaiham memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!