Desak batalkan PSI, Gerakan alu-alukan LRT di Pulau Pinang
GEORGETOWN - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penambahan dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.
Susulan daripada itu, Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong berharap agar kerajaan negeri membatalkan projek Selatan Pulau Pinang (PSI) dengan segera.
Menurutnya, selain itu, pihaknya berharap agar Anwar mendengar keluhan rakyat mengenai kebimbangan mereka sekiranya projek mega yang melibatkan tiga buah pulau buatan itu masih akan dilaksanakan.
"Kerajaan negeri menyatakan bahawa pengumuman Anwar adalah satu hadiah buat Pulau Pinang dan selaras dengan keinginan rakyat di negeri ini yang inginkan perkhidmatan LRT dilaksanakan.
"Dengan pengumuman yang dibuat dua hari lalu itu juga hampir merealisasikan impian rakyat Pulau Pinang yang bertahun inginkan LRT tetapi Anwar dan kerajaan negeri perlu ingat, rakyat juga menolak projek PSI yang hanya akan merosakkan alam sekitar dan mengganggu keterjaminan makanan.
"Rakyat tetap dengan pendirian mereka iaitu ingin projek tersebut dibatalkan segera dengan alasan-alasan yang kukuh," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Sabtu lalu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan pusat akan menambah dana dalam satu skim yang besar untuk melaksanakan perkhidmatan LRT di Pulau Pinang.
Anwar berkata, beliau akan mengadakan satu mesyuarat bersama kerajaan negeri untuk membincangkan perkara tersebut dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi.
Tambah Anwar, beliau juga mengarahkan supaya projek PSI dikaji semula dan mengecilkan skopnya.
Dalam pada itu, Tong Keong menambah, pihaknya berharap agar Anwar mendengar keluh kesah rakyat dan mengarahkan agar kerajaan negeri membatalkan projek berkenaan dan bukannya dikaji semula atau mengecilkan skopnya.
"Dulu, kerajaan negeri bagi alasan, projek tambakan laut ini adalah untuk pembiayaan projek LRT namun dengan pengumuman Anwar baru-baru ini, kerajaan negeri sudah tiada alasan lagi. Pengumuman penambahan dana oleh kerajaan persekutuan itu sama seperti desakan yang dibuat Gerakan sebelum ini.
"Kita mendesak agar kerajaan persekutuan beri lebih dana kepada Pulau Pinang agar projek berskala besar di Pulau Pinang seperti projek tambak laut tidak perlu dilaksanakan.
"Desakan itu sama seperti BN menerajui kerajaan dahulu yang mana, kerajaan persekutuan ketika itu membiayai dua buah jambatan dalam usaha mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang," katanya.
Sementara itu, Sahabat Alam Malaysia (SAM) menegaskan bahawa pengecilan skop bagi projek PSI dilihat bukan satu pilihan tepat.
Presidennya, Meenakshi Raman berkata, apa yang digesa oleh SAM sebelum ini adalah membatalkan projek tiga buah pulau buatan, bukannya mengecilkan skop kerjanya.
"Apa yang kami mahu adalah batalkan terus projek tersebut kerana ia tiada justifikasi. Projek itu dilihat tidak penting dan hanya mendatangkan impak buruk terhadap alam sekitar dan komuniti nelayan berdekatan sahaja.
"Kami berharap, dengan pembiayaan daripada kerajaan pusat untuk LRT selain menggunakan tanah alternatif di Seberang Perai, kami berharap agar projek PSI dapat dibatalkan sekali gus dapat menyelamatkan laut di Pulau Pinang.
"Ini kerana, sama ada satu pulau atau tiga pulau, ia tetap akan merosakkan kawasan sensitif alam sekitar dan tempat pembiakan ikan. Sebab itu SAM gesa projek tambak laut ini dibatalkan terus," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!