Rakyat tidak sabar dengan kerajaan

Ahmad Faizal (empat dari kiri) menyampaikan Kad Prihatin Perak pada majlis itu yang turut dihadiri Sivanesan (tiga dari kiri) dan Aminuddin (dua dari kanan) di Dewan Merdeka Tapah, di sini, hari ini.
Ahmad Faizal (empat dari kiri) menyampaikan Kad Prihatin Perak pada majlis itu yang turut dihadiri Sivanesan (tiga dari kiri) dan Aminuddin (dua dari kanan) di Dewan Merdeka Tapah, di sini, hari ini.
A
A
A

TAPAH - PH Perak menyedari hakikat bahawa tahap puas hati rakyat terhadap kerajaan sedang menurun.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keadaan itu berlaku disebabkan rakyat tidak sabar dengan kerajaan hari ini.

Katanya, kerajaan PH memerlukan sedikit masa untuk memperbetulkan keadaan dan pada ketika itu barulah rakyat merasai perubahan yang sebenar.

"Saya sedar tentang perkara itu, kebanyakan daripada kami ini dan saya sendiri baharu lagi, memerlukan sedikit masa penyesuaian, namun saya yakin dan percaya dengan perasaan penuh bersemangat untuk mengubah Malaysia menjadi sebuah Malaysia yang baharu.

"Saya faham keadaan itu kerana saya sendiri dalam kerajaan, kami pun terasa nak ubah dengan cepat tetapi kita perlu menyelesaikan masalah demi masalah mengikut keutamaan dan sebagainya. Perkara ini mengambil sedikit masa," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Penyampaian Kad Perak Prihatin Peringkat Daerah Batang Padang di Dewan Merdeka Tapah, di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia Perak, A Sivanesan; Timbalan Speaker DUN Perak merangkap ADUN Behrang, Aminuddin Zulkifli dan beberapa penyelaras DUN.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, tugas kerajaan memberi perkhidmatan kepada rakyat dan bukannya menjadi pesaing kepada rakyat terutama dalam bidang perniagaan dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Beliau bagaimanapun yakin sokongan dan kepercayaan rakyat akan meningkat selepas ini melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!