Dua maut motosikal bertembung
ALOR SETAR - Dua penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng cedera dalam kemalangan di Jalan Sungai Dedap, dekat Yan, malam Ahad.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa yang maut ialah Mohd Khatib Sharbini Tajuddin, 41, dan Nur Aina Ellysya Abdul Hadi, 13, manakala adiknya, Nur Aina Syafiqa Abdul Hadi, 11, mengalami kecederaan.
"Kejadian berlaku ketika Mohd Khatib Sharbini yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari arah Sungai Limau Dalam menghala ke Kampung Bahagia manakala Nur Aina Ellysya bersama adiknya yang menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR dari arah Kampung Bahagia menghala ke Sungai Limau Dalam.
"Tiba di tempat kejadian, motosikal dua beradik itu telah masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi Mohd Khatib Sharbini.
"Akibat pertembungan itu, kedua-dua mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.
Shahnaz Akhtar berkata, mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Yan untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera turut menerima rawatan di hospital sama.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan polis sedang mengesan saksi kejadian itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!