Celtic intai kejuaraan treble
CELTIC mengesahkan kejuaraan Liga Scotland ke-53, mahkota ke-11 dalam 12 musim terakhir, dengan baki empat perlawanan selepas kemenangan 2-0 ke atas Hearts di Stadium Tynecastle Park.
Jaringan Kyogo Furuhashi (minit ke-67) dan pemain gantian Oh Hyeon-gyu (m-80) membekalkan gol yang melonjak Celtic dengan 95 mata di tangga teratas Liga Perdana Scotland (SPL), 13 mata di depan Rangers selepas 31 kemenangan dalam 34 perlawanan.
"Awal musim kelab ini menuntut kecemerlangan dalam setiap pemain demi kejayaan Celtic. Anda perlu menjadi pasukan terbaik sepanjang 38 perlawanan dan pasukan terbaik telah memenangi liga.
"Saya sangat gembira untuk semua pemain, kakitangan dan peminat. Sesungguhnya hari ini merupakan hari yang sangat istimewa untuk penyokong Celtic," kata kapten Callum McGregor.
Celtic, yang memenangi Piala Liga Scotland pada Februari, boleh meraih treble domestik apabila menentang kelab Divisyen Dua, Inverness Caledonian Thistle dalam perlawanan akhir Piala Scotland pada 3 Jun.
Sebagai rekod, Celtic dan Rangers telah merangkul kejuaraan liga Scotland paling lama sejak Aberdeen memenangi Divisyen Perdana lama pada 1985.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!