Tengku Hassanal titah beri peruntukan adil kepada ADUN pembangkang
KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya kerajaan Pahang memberikan peruntukan adil kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di negeri ini.
Baginda bertitah, hampir 66 tahun merdeka landskap politik perlu berubah.
"(Tempoh) 66 tahun ini sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.
"Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka (pembangkang) juga," titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Tengku Hassanal mahu pembangkang pula memberi pandangan membina dan jangan menghentam semua yang kerajaan buat.
"Apa yang baik berilah pujian, apa yang kita kurang berikan pandangan. Rakyat mahu politik yang stabil dan matang," titah baginda.
Baginda juga mahu Pahang terus bergerak laju ke hadapan dan mesti menjadi contoh kepada negeri dan negara lain.
Tengku Hassanal turut menasihatkan kepada pegawai kerajaan dan penjawat awam supaya melaksanakan tugas dengan pantas.
"Proses birokrasi dan menyusahkan buang jauh-jauh. Kepada majikan swasta juga sama, kerajaan telah sedia itu, ini, maka pulanglah balik kepada kerajaan dalam bentuk cukai, zakat dan program khidmat masyarakat.
"Apabila sudah untung lebih, jangan lupa beri beri semula kepada pekerja. Ada untung lebih bayarlah gaji pekerja lebih sikit atau beri bonus lebih baik," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!