Kane inspirasi untuk Spurs
KAPTEN Tottenham Hotspur, Harry Kane telah menunjukkan contoh mentaliti menang kepada setiap warga kelab London tersebut ketika Spurs bergelut dengan prestasi tidak menentu dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.
Pengendali sementara Tottenham, Ryan Mason berkata, kehadiran Kane dalam setiap perlawanan Tottenham sememangnya amat dinantikan khasnya penyokong-penyokong The Spurs.
"Sememangnya kita semua akan bercakap tentang gol Harry, apabila bermain bola sepak dia akan berusaha menjaringkan gol dalam setiap percubaan...itu mentaliti elitnya di sini.
"Namun, tidak terhenti di situ sahaja pemikiran elit itu, contoh yang dia tunjukkan setiap hari dalam dan sekitar tempat itu, sangat bagus untuk berada di sekeliling Harry.
"Kerana apabila anda mempunyai orang seperti itu, mereka memberi inspirasi kepada anda untuk menjadi lebih baik dan kami sangat menghargai Harry di kelab bola sepak ini.
"Malah untuk konsisten, anda perlu mempunyai 11 pemain yang berjuang untuk satu sama lain dan bekerja keras sebagai satu kolektif untuk mendapatkan keputusan," kata Mason.
Kane sebelum ini meledak gol dalam masa kecederaan separuh masa pertama ketika menewaskan Crystal Palace 1-0 di Stadium Tottenham Hotspur.
Gol itu juga merupakan gol ke-209 Liga Perdana Inggeris jaringan Kane - lebih satu gol daripada Wayne Rooney, namun masih jauh di belakang pemegang rekod, Alan Shearer dengan 260 gol.
Tiga mata diraih Tottenham menyaksikan kelab itu melonjak ke tangga keenam dengan 57 mata daripada 35 perlawanan akan ke Aston Villa pada Sabtu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!