Pantau pelaburan negeri, elak cemar alam sekitar - Tengku Hassanal

Tengku Hassanal berangkat ke DUN selepas menerima tabik hormat kawalan kehormatan diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Tengku Hassanal berangkat ke DUN selepas menerima tabik hormat kawalan kehormatan diraja pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Pahang diingatkan supaya memantau pelaburan yang masuk ke negeri ini agar tidak mencemarkan alam sekitar.

Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, peringatan itu dibuat selepas Pahang menerima tujuh projek pelaburan antarabangsa bernilai lebih RM11 bilion.

“Suka saya nasihatkan pantau betul-betul pelaburan ini. Kita tidak mahu hanya gah pada angka tetapi biarlah rakyat turut menerima limpahan pekerjaan yang bakal tercipta.

“Paling penting kesemua pelaburan yang masuk tidak mencemarkan alam sekitar di negeri saya ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Tengku Hassanal dalam titahnya turut mengingatkan apa jua projek yang dilaksanakan mesti seimbang antara pembangunan dan menyokong ke arah pelepasan karbon sifar bersih.

“Ingat. Dalam usaha kita mengejar kemajuan negara dan negeri kita tidak boleh sama sekali membelakangkan alam sekitar dalam kehidupan.

"Saya tidak mahu menang bersorak kampung tergadai. Lebih-lebih lagi Pahang merupakan negeri yang kaya dengan sumber asli dan khazanah alam yang paling bernilai,” titah baginda lagi.

Tengku Hassanal berharap agar pentadbiran baharu kerajaan negeri ini dapat meneruskan keharmonian serta kegemilangan untuk membangunkan ekonomi dan fizikal serta meningkatkan pendapatan negeri demi kemakmuran rakyat.

Baginda bertitah, kerajaan Pahang harus memperkukuhkan lagi iltizam untuk melipatgandakan produktiviti dan daya saing.

"Ini bagi memastikan prestasi kutipan hasil tahun 2023 dipertingkatkan lagi sebagaimana sasaran yang telah ditetapkan," titah baginda.

Sementara itu, Tengku Hassanal mahu kerajaan Pahang mempertingkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan terhadap pencerobohan tanah, kecurian hasil tanah, mineral dan penerokaan hutan simpan di negeri ini yang dilihat masih lemah dan perlu penambahbaikan.

"Ya, Pahang memang luas. Tapi ia tidak boleh dijadikan satu alasan untuk kita tidak boleh bertindak agresif kepada pencuri khazanah Pahang ini.

"Mahu tidak mahu aktiviti penguatkuasaan ini perlu diperhebat lagi. Saya mahu semua agensi penguatkuasaan tegas dan berani," titah baginda.

Baginda meminta supaya pihak penguat kuasa menjalankan tugas secara profesional tanpa mengira latar belakang pesalah.

"Kepada kerajaan saya, cari jalan supaya aktiviti penguatkuasaan dapat ditingkatkan lagi.

"Berilah bajet yang bersesuaian agar mereka dapat jalankan tugas dengan sempurna," titah baginda.

Baginda turut berharap sumber asli yang sedia ada dapat bertahan lebih lama dengan pengurusan dan perancangan yang tersusun.

"Setakat ini, sumber asli Pahang dijangka mampu bertahan selama 150 tahun. Namun saya mahu sumber asli ini bertahan lebih daripada 300 tahun atau lebih lama daripada itu," titah baginda lagi.

Justeru, baginda bertitah, kerajaan negeri perlu merangka strategi untuk beralih daripada sumber ekonomi tradisional seperti hasil tanah mineral dan balak sekarang kepada sumber ekonomi alternatif yang lain.

"Kalau kita bersatu dan fokus Pahang sebagai sebuah negeri dalam persekutuan Malaysia, bukan sahaja akan terus berdikari, boleh menjadi penyumbang besar kepada ekonomi negara," titah baginda

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!