Samseng jalan raya acu pistol, dipenjara lapan bulan

Zhao Yuan (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Isnin.
Zhao Yuan (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Padah menakut-nakutkan dan mengacukan pistol tiruan terhadap seorang pemuda, seorang samseng jalan raya dijatuhi hukuman penjara lapan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Isnin.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Mazana Sinin selepas tertuduh, Low Zhao Yuan, 29, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa telah menakut-nakutkan secara jenayah hendak menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zulhusni Mohamad Amin, 25, di tepi jalan berhadapan bangunan Melaka Mall, Jalan Lebih Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 12.17 tengah malam pada 28 April lalu.

Dia dituduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan mengandungi enam butir peluru di tempat dan masa yang sama.

Kesalahan itu dilakukan di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman maksimum setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran kerana tindakan terburu-buru tertuduh adalah salah di sisi undang-undang.

Sementara tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan merayu hukuman ringan memandangkan tertuduh merupakan seorang bapa tunggal dan bekerja di kedai telefon dengan pendapatan RM2,300 sebulan, perlu menyara dua orang anak masih bersekolah selain ibu bapa yang tidak bekerja.

Malah ibunya berusia 52 tahun turut menghidap kanser tahap satu dan memerlukan kos rawatan serta ubat-ubatan.

Mahkamah kemudian menetapkan hukuman lapan bulan penjara bagi pertuduhan pertama manakala enam bulan penjara bagi pertuduhan kedua yang berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditangkap pada 28 April lalu.

Media sebelum ini melaporkan gara-gara tidak puas hati bunyi hon motor dan dijerit ‘hoi, seorang pemandu kereta yang sedang menjalani pengawasan polis, bertindak mengacu pistol di kepala seorang penunggang motosikal di hadapan Melaka Mall.

Bagaimanapun, tindakan pemandu kereta Myvi berusia 28 tahun itu membawa padah apabila mangsa bekerja sebagai mekanik merampas senjata tersebut selepas bergelut dengan suspek.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!