Akibat hutang along, keluarga tanggung padah

Chai Hoon (tengah) ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau pada Isnin.
Chai Hoon (tengah) ketika membuat aduan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang wanita dan keluarganya hidup dalam kebimbangan akibat tindakan abangnya berhutang dengan peminjam wang tanpa lesen atau along.

Chew Chai Hoon, 44, berkata, dia turut menerima ugutan daripada sekumpulan along untuk membakar rumahnya jika pinjaman wang yang dibuat abangnya tidak dijelaskan segera.

"Seorang lelaki ada datang ke rumah pada 30 Disember 2022 dan minta duit yang abang saya pinjam berjumlah RM5,000... bila saya kata tak ada dia pun bagi amaran bahawa dia ada semua maklumat keluarga saya.

"Selepas itu saya, adik, adik ipar, suami, tiba-tiba dimasukkan dalam satu kumpulan WhatsApp dan terbaharu, pada Mac lalu, seorang lelaki datang dan ugut untuk bakar rumah kalau hutang abang saya itu tidak dibayar.

"Saya pernah bertanya kepada abang saya mengenai hutang itu dan katanya, dia telah pun selesai menjelaskannya, tetapi dalam masa sama, along berkenaan masih menganggu kami sekeluarga dan mengatakan abang saya masih berhutang dengan mereka," katanya kepada Sinar Harian.

Chai Hoon berkata demikian ketika ditemui selepas membuat aduan di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tebrau pada Isnin.

Sehubungan itu, Chai Hoon membuat laporan polis berikutan ugutan diterimanya pada 11 Mac lalu oleh seorang lelaki yang datang ke rumahnya bagi menuntut pembayaran berkenaan.

Mengulas lanjut Chai Hoon berkata, ugutan dibuat along turut memberi kesan terhadap kesihatan mendiang ibunya sebelum ini yang meninggal dunia dipercayai akibat tertekan selain bimbangkan keselamatan abangnya.

Dia turut berharap abangnya itu dapat menyelesaikan segera urusan dengan pihak terlibat tanpa menjejaskan keselamatan ahli keluarga lain.

"Oleh itu, saya berharap agar dia (abang), dapat selesaikan sendiri hutang-hutang itu, jangan susahkan kami yang tak ada kena mengena langsung," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah menegaskan, Chai Hoon dan ahli keluarga lain tidak perlu bertanggungjawab atas perkara berkenaan kerana mereka sememangnya tiada kaitan langsung dengan hutang dibuat abangnya.

"Apa pun harap pihak polis dapat mengambil tindakan atas perkara ini kerana secara tidak langsung ia telah menganggu ketenteraman masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!