Lebih 40 peratus tenaga buruh tak carum KWSP, pencen kerajaan

Ahmad Badri (dua dari kiri) dan Anwar (tiga dari kiri) semasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP Kwasa Damansara pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
Ahmad Badri (dua dari kiri) dan Anwar (tiga dari kiri) semasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP Kwasa Damansara pada Isnin. FOTO SINAR HARIAN/ ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Lebih 40 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh tidak mempunyai perlindungan di bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Skim Pencen Perkhidmatan Awam.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, hanya 56 peratus mendapat perlindungan tersebut dan kadar itu lebih rendah berbanding purata liputan global
 yang berada pada 68 peratus.

Menurutnya, majoriti tenaga buruh yang tidak dilindungi itu adalah pekerja tidak formal termasuk pekerja bebas dan golongan bekerja sendiri.

Justeru itu, jelasnya, terdapat tiga perkara utama yang dilakukan KWSP dalam usaha memastikan tiada rakyat Malaysia ketinggalan dalam perlindungan sosial dan mengembalikan tumpuan kepada mencapai jaminan pendapatan persaraan.

“Pertama, membantu menjamin kecukupan simpanan hari tua. Kedua, memperluaskan perlindungan KWSP meliputi golongan pekerja di luar sektor formal seperti pekerja sektor gig, pemilik perniagaan dan golongan bekerja sendiri atau pekerja bebas.

“Ketiga, menjana pendapatan pelaburan yang mampan dan berupaya menambah nilai ke atas simpanan persaraan ahli,” katanya semasa Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP Kwasa Damansara di sini pada Isnin.

Pada masa sama, ujarnya, Program Outreach KWSP yang kini giat dijalankan bagi tujuan memperluaskan liputan perlindungan KWSP telah menunjukkan pertumbuhan yang positif.

Kata beliau, setakat 31 Disember 2022, sebanyak 2,981 program jangkauan telah dijalankan di seluruh Malaysia dan hasilnya KWSP telah berjaya mencatatkan peningkatan jumlah ahli yang membuat caruman sukarela sebanyak 70 peratus kepada 774,980 pada 2022, berbanding 455,361 pada 2021.

“Atas kejayaan ini, KWSP tekad untuk mengukuhkan lagi pasukan Mobile Team dengan membekalkan 26 kenderaan bergerak dan 10 mobile trak.

“Ia untuk menempatkan 143 kakitangan KWSP di seluruh negara bagi mempergiatkan aktiviti jangkauan KWSP terutama di kawasan luar bandar dan terpencil,” ujarnya.

Ahmad Badri berkata, setakat 31 Disember 2022, jumlah aset di bawah pengurusan KWSP telah mencapai RM1.0 trilion.

Jelasnya, aset itu adalah terdiri daripada pelbagai jenis pelaburan, termasuk RM30.54 bilion dalam ekuiti, RM18.19 bilion dalam Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Tara, RM5.56 bilion dalam Hartanah dan Infrastruktur dan RM1.04 bilion dalam Pasaran Wang.

“Dengan aset sebesar ini, KWSP mempunyai pengaruh besar dalam ekonomi Malaysia dan sering menjadi penyumbang utama dalam pelbagai projek pembangunan, termasuk dalam membangunkan perbandaran baharu Kwasa Damansara ini.

“Peranan KWSP ini secara tuntasnya menyokong pertumbuhan ekonomi negara dan membantu membentuk kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!