Donald Trump tidak akan beri keterangan kes rogol wartawan

Donald Trump. - Foto AFP
Donald Trump. - Foto AFP
A
A
A

WASHINGTON - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tidak akan memberi keterangan dalam kes rogol sivil terhadapnya di New York City dengan tarikh akhir untuk memaklumkan kehadirannya di mahkamah berakhir pada Ahad, lapor UPI.

Pasukan pembelaan Trump mempunyai masa sehingga jam 5 petang untuk memaklumkan kepada mahkamah mengenai keputusan bekas presiden itu, dua hari selepas mahkamah membenarkan video keterangan bersumpah Trump dalam kes itu didedahkan kepada umum.

Hakim Daerah Lewis Kaplan meminta pasukan Trump memfailkan notis jika Trump berhasrat untuk memberi keterangan di mahkamah berikutan ulasan bekas presiden itu yang membayangkan beliau akan memberi keterangan.

Peguam Joe Tacopina memaklumkan Trump enggan memberi keterangan tetapi terbuka jika bekas presiden itu mengubah fikiran.

Trump menafikan tuduhan merogol Jean Carroll, seorang wartawan, dan pengarang dalam kejadian di sebuah gedung membeli-belah di New York City pada 1990-an namun dalam video bersumpahnya beliau keliru dengan foto wanita muda itu (Carroll) dengan bekas isterinya Marla Maples.

Selain dakwaan rogol, Carroll dalam kenyataannya mendakwa Trump memfitnahnya dengan mengatakan dakwaannya adalah satu penipuan dan pembohongan, lapor ABC News.

Kenyataan penutup dijangka disampaikan pada Isnin, diikuti pertimbangan juri mulai minggu ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!