STDC, Dassault Systems meterai MoU program kolaborasi digital

Amirudin (kiri) mengadakan lawatan ke Dassault System sempena lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat.
Amirudin (kiri) mengadakan lawatan ke Dassault System sempena lawatan kerjanya ke Amerika Syarikat.
A
A
A

KERAJAAN Selangor melalui Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Dassault Systems menerusi program kolaborasi digitalnya.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerjasama strategik bersama pemain industri juga syarikat antarabangsa seperti Dassault System akan memberi manfaat buat rakyat negeri Selangor malah rakyat Malaysia.

"Insya-ALLAH ada kolaborasi antara Dassault Systems dan kerajaan negeri Selangor khususnya melalui Selangor Technical Skills Development Centre (STDC).

"Banyak perkara kita boleh teroka melalui kerjasama kerajaan negeri Selangor dalam inisiatif negeri pintar untuk melengkapkan persediaan tenaga kerja mencukupi dan baik melalui STDC," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran video pendek di laman Facebooknya sempena lawatan kerja Menteri Besar ke Amerika Syarikat yang memasuki hari kedua pada Isnin.

Beliau menambah, MoU yang ditandatangani kedua-dua pihak itu juga diharap dapat memberi peluang latihan penggunaan Dassault Systems yang banyak digunakan dalam sektor pembuatan kereta di Malaysia di masa depan.

"Kita (juga) akan mengemukakan satu pelan latihan yang boleh disertai rakyat Malaysia amnya dan rakyat Selangor khususnya," tambahnya.

Pada 2 Mac lalu media melaporkan kerajaan negeri Selangor melaksanakan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) dengan mewujudkan STDC agar pelajar dapat mengisi peluang pekerjaan dengan kemahiran tertentu.

STDC adalah institusi pendidikan teknikal yang bernaung di bawah kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sebagai pemegang saham terbesar dalam syarikat.

Pada Ogos 2020, Kolej Antarabangsa INPENS yang bertempat di Kuala Selangor dijenamakan semula sebagai STDC bagi memperkasakan TVET.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!