Identiti bangsa dalam Kad Pengenalan kekal
JOHOR BAHRU - Kementerian Dalam Negeri belum menerima secara rasmi cadangan daripada seorang senator supaya menggugurkan identiti bangsa dalam kad pengenalan.
Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebelum ini, pernah juga perkara tersebut disuarakan, namun ia tidak dilaksanakan selepas melalui beberapa perbincangan.
"Belum saya terima lagi secara rasmi, pasal pendaftaran ini di bawah Kementerian Dalam Negeri.
"Dulu pun pernah ada suara, tapi selepas dibincang, tidak jadi buat perubahan itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Bersantai Bersama Pemimpin Sempena Pelancaran Buku 'Bersatu Mulanya Di Sini' di Hotel Thistle di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal.
Muhyiddin berkata, perkara itu akan diteliti kewajarannya, malah terdapat pandangan mengatakan cadangan senator terbabit sebagai bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Jadi saya kena pandang perkara itu. Teliti sama ada wajar (atau) tak wajar. Ada pandangan yang mengatakan pandangan YB Senator itu bertentangan dengan Perlembagaan.
"Pasal ada hak istimewa orang Melayu. Nak membezakan yang Melayu dan bukan Melayu dan lain-lain lagi," katanya.
Beliau berkata, sekiranya isu tersebut diteruskan dan pindaan dilakukan, berkemungkinan boleh timbul perkara-perkara yang sensitif dan menyentuh pihak satu kaum atau kaum lain.
"Jadi kita kena halusi, perkara seperti itu, dan sementara itu saya nak nyatakan kita kekalkan status pendaftaran di mana soal latar belakang sama ada dia Melayu, Cina, India itu kita masukkan di situ.
"Jadi kita belum buat apa-apa kajian lagi tentang kesan kalau perubahan itu dilakukan. Ini pandangan daripada Ahli Dewan Negara. Jadi kita hormati pandangan merekalah," katanya.
Ditanya perkara itu boleh membangkitkan kemarahan orang Melayu, Muhyiddin berkata, perkara itu perlu diteliti dan dikaji kerana tidak mahu timbul banyak masalah lain.
"Kita kena beri keutamaan pada soal-soal pokok yang kita sedang hadapi dalam negara kita.
"Tetapi apa pun kerana perkara itu disuarakan di Dewan Negara, kita tengoklah. Kita kaji dan kita halusi dengan semasak-masak, sebelum kita buat apa-apa keputusan," katanya.
Terdahulu, Nga Hock Cheh mencadangkan supaya menggugurkan identiti bangsa dalam kad pengenalan dengan alasan agar rakyat negara ini lebih mementingkan perpaduan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!