Hospital Serdang dinamakan Hospital Sultan Idris Shah Serdang
SERDANG - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Isnin berkenan merasmikan dan menjenamakan semula Hospital Serdang yang kini dikenali sebagai Hospital Sultan Idris Shah Serdang.
Sultan Sharafuddin dalam titahnya mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak kerajaan yang sudi menamakan hospital itu atas nama baginda.
"Sesungguhnya, kesihatan dan kebajikan rakyat sangat dekat di hati dan sentiasa dalam perhatian beta,” titah baginda pada majlis perasmian dan penjenamaan semula Hospital Serdang di Auditorium Hospital Sultan Idris Shah Serdang di sini, pada Isnin.
Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dan Pengarah Hospital Serdang, Dr Amin Sah Ahmad juga hadir.
Hospital Serdang yang memulakan operasinya pada Mei 2005 merupakan hospital pakar major yang menjadi pusat rujukan rawatan jantung bagi Wilayah Tengah dan pusat rujukan kes-kes jantung kompleks dari seluruh negara.
Sultan Sharafuddin bertitah, Pusat Kardiologi Hospital Sultan Idris Shah yang telah dinantikan oleh masyarakat di Lembah Klang dan sekitarnya telah siap dibina dan akan menjadi pelengkap kepada blok hospital sedia ada sekali gus, memberi kemudahan kepada rakyat khususnya di Selangor untuk mendapatkan rawatan terbaik.
"Beta berharap dengan terbinanya Pusat Kardiologi ini akan dapat meningkatkan taraf penyampaian perkhidmatan kesihatan dan mengurangkan masa menunggu bagi rawatan pesakit jantung di Selangor.
"Beta dimaklumkan bahawa Hospital Sultan Idris Shah juga mempunyai kerjasama strategik dengan Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia dan Hospital Sultan Abdul Aziz Shah. Kerjasama ini diharap dapat diperluaskan kepada fasiliti-fasiliti dan perkhidmatan bidang kepakaran lain," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, kerajaan harus prihatin dalam mempelbagaikan sumber pembiayaan untuk penjagaan kesihatan rakyat dengan memberi tumpuan pada agenda membangunkan skim insurans kesihatan kebangsaan.
"Pada masa yang sama, kerajaan haruslah menjaga kebajikan para doktor dan petugas kesihatan kerana ia satu kerja yang mulia dan perlu diberi pengiktirafan sewajarnya. Ia tidak seharusnya dijadikan isu dipolitikkan yang akhirnya merugikan semua pihak.
"Beta berkenan supaya pengurusan hospital baharu hendaklah mempunyai sistem pengurusan fasiliti yang cekap dan memastikan penyelenggaraan berjadual dilaksanakan. Setiap infrastruktur dan peralatan yang rosak perlu dinaik taraf dan dibaiki untuk mempermudahkan akses kesihatan kepada rakyat," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah, projek berkepentingan tinggi seperti pembinaan hospital dan klinik baharu perlu disiapkan mengikut jadual dengan cekap supaya projek berkenaan diselesaikan dalam tempoh yang dirancang dan beroperasi secara efisien demi kesejahteraan rakyat.
Baginda turut menitahkan rakyat agar mempertingkatkan ilmu pengetahuan tentang pengurusan kesihatan diri secara komprehensif di samping, berwaspada terhadap maklumat kesihatan yang diperoleh dalam talian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!