LLM 10 tahun: Tindakan terhadap pesalah tetap diambil
SEREMBAN - Tindakan penguatkuasaan tetap akan diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan jalan raya walaupun pemegang lesen telah memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM) untuk tempoh 10 tahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mempunyai sistem yang mampu mengesan pesalah dan tindakan seperti penggantungan lesen atau menarik lesen bagi kesalahan tertentu tetap dilakukan.
"Walaupun ada pihak mendakwa dengan cara ini orang tidak bayar saman dan sebagainya, kami ada cara lain iaitu digital.
"Kalau mereka ada kesalahan seperti kes kemalangan, hukuman gantung lesen mereka tetap dilakukan, bukan bermaksud pemegang lesen itu sudah bayar (lesen) tidak akan digantung," katanya ketika mengadakan lawatan ke JPJ Cawangan Seremban di sini pada Isnin, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.
Sementara itu, Anthony berkata, kerajaan memulakan dasar baharu membenarkan pemegang lesen memandu bagi semua kategori mendapat diskaun 10 peratus sekiranya memperbaharui tempoh 10 tahun.
"Cuma bayar RM270 berbanding RM300. Itu merupakan dasar baharu yang kami perkenalkan untuk memudahkan orang ramai. Saya banyak mendapat maklum balas dan permintaan daripada orang ramai tempoh untuk memperbaharui lesen memandu dipanjangkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, JPJ terus memperkasakan integriti penguatkuasaan bagi mengatasi masalah "tonto” dan penguatkuasaan ditambah baik bagi mengatasi kelemahan dalaman agar maklumat tidak bocor kepada pihak luar.
"Kami tahu ada cubaan untuk mendapat maklumat daripada orang dalaman dan sebagainya, JPJ akan terus memperkasakan integriti. Tonto memang isu yang membelenggu JPJ,” katanya.
Anthony berkata, apa jua kaedah digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab itu, ia tidak akan dapat mencabar undang-undang negara.
"Apa pun helah mereka bagi mengelakkan daripada penguatkuasaan, sama ada mengunakan telekomunikasi lebih canggih, JPJ dapat mengatasinya dengan kaedah lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas taktik "tonto” yang kini menggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram bagi menyebarkan aktiviti penguatkuasaan JPJ. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!