Sokong Proklamasi Orang Melayu tiada kaitan PRN
KUALA LUMPUR - Sokongan beberapa pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap Proklamasi Orang Melayu yang digagaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad tiada kaitan dengan kerjasama parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, sokongan beliau dan juga beberapa pemimpin Bersatu terhadap Mahathir itu bukan atas arahan parti.
"Kita datang atas kapasiti individu, untuk penyatuan orang Melayu, tiada bincang pasal pengagihan kerusi PRN.
"Tiada bincang mengenai kemasukan GTA (ke Perikatan Nasional) dan sebagainya," katanya pada majlis Rumah Terbuka Bersatu Bersama Media pada Isnin.
Turut hadir, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Selain Razali, Ahmad Faizal dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid turut menandatangani proklamasi itu.
Proklamasi Orang Melayu digerakkan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu secara dalam talian, selepas lokasi untuk mengadakan perhimpunan mengenainya dibatalkan sebanyak dua kali.
Pada 27 Mac lalu, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu dalam kenyataan berkata, kempen itu akan dilakukan secara berterusan agar sampai kepada semua orang Melayu yang cintakan negara.
Penganjur sebelum ini juga dilaporkan berkata, Proklamasi Orang Melayu bukan bersifat politik tetapi hanya mahu membincangkan isu berkaitan komuniti Melayu.
Razali berkata, beliau menyokong usaha bekas Perdana Menteri itu kerana menganggap Dr Mahathir sebagai negarawan yang mampu menyatukan orang Melayu.
"Melayu nak berpecah jadi kita letak Tun M sebagai negarawan untuk menyatukan orang Melayu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!