Rakyat Malaysia masih keliru tentang kolesterol - MMA

Ujian darah adalah satu-satunya cara untuk mengesan kolesterol. Gambar kecil: Dr Muruga
Ujian darah adalah satu-satunya cara untuk mengesan kolesterol. Gambar kecil: Dr Muruga
A
A
A

KUALA LUMPUR - Berdasarkan tinjauan yang dijalankan, secara amnya rakyat Malaysia beranggapan bahawa mereka mempunyai pengetahuan tentang kolesterol, dengan 85 peratus mengakui tahap pemahaman mereka adalah sederhana dan baik.

Tinjauan bertajuk State of Health of the Nation yang dijalankan oleh The Green Zebras bagi pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan sebuah syarikat farmaseutikal terkemuka, Novartis Malaysia turut mendapati hampir 92 peratus berpendapat bahawa kolesterol boleh dikawal melalui perubahan gaya hidup.

Tinjauan yang dijalankan menerusi dalam talian pada Disember 2022 itu melibatkan 500 responden yang mewakili keseluruhan populasi secara nasional mengikut lokasi, jantina dan bangsa.

Novartis dalam satu kenyataan berkata, hanya 40 peratus percaya bahawa kolesterol hanya boleh dikawal dengan ubat, manakala 75 peratus berpendapat bahawa seseorang akan menunjukkan simptom jika ia mempunyai kolesterol tinggi.

Sebanyak 56 peratus daripada responden berumur 40 hingga 60 tahun pula menganggap ujian tahap kolesterol diperlukan sekurang-kurangnya setiap lima tahun atau lebih kerap dengan 49 peratus tidak bersetuju bahawa seseorang yang mempunyai berat badan yang sihat boleh mempunyai tahap kolesterol tinggi

Di sebalik semua salah tanggapan ini, 89 peratus responden sedar bahawa kolesterol tinggi yang tidak dikawal boleh membawa kepada penyakit yang lebih serius seperti kardiovaskular, strok, dan masalah jantung yang lain.

Sementara itu, 84 peratus daripada responden menginginkan cara yang lebih mudah untuk menangani kolesterol tinggi.

Responden juga mengatakan bahawa sumber maklumat kolesterol diperolehi dari laman web kesihatan, media sosial, rakan atau keluarga dan bukannya sumber yang boleh dipercayai seperti doktor, ahli farmasi, dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Presiden MMA, Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, walaupun maklum balas tinjauan menunjukkan bahawa rakyat Malaysia mendakwa mereka mempunyai pengetahuan luas tentang kolesterol, tetapi terdapat beberapa kekeliruan dalam sentimen mereka terhadap kolesterol.

“Pertama sekali, kolesterol tinggi tidak mempunyai gejala yang khusus. Ujian darah adalah satu-satunya cara untuk mengesannya.

"Saringan kolesterol yang dicadangkan untuk orang dewasa antara umur 45 hingga 65 tahun adalah setiap tahun sekali atau dua tahun sekali, manakala mereka yang berumur 65 tahun ke atas dicadangkan untuk melakukan saringan kolesterol setiap tahun," kata beliau.

Oleh itu, katanya, menjaga kesihatan dan melakukan pemeriksaan kesihatan secara tetap adalah penting untuk mengesan sebarang penyakit meskipun tiada tanda-tanda yang kelihatan.

Katanya, segera berjumpa doktor sekiranya berasa tidak sihat untuk medapatkan rawatan yang sewajarnya.

"Kelewatan untuk mendapatkan rawatan yang tepat pada masanya menyebabkan anda berkemungkinan besar mengalami aterosklerosis.

"Sebagai seorang doktor, saya juga menasihatkan orang ramai supaya tidak hanya bergantung kepada maklumat berkaitan kesihatan daripada rakan, keluarga dan media sosial, anda tidak akan mendapat maklumat yang betul dan ia boleh menyebabkan kebimbangan,” katanya.

Presiden Negara Novartis Malaysia, Mohamed ElWakil berkata, ramai tidak menyedari bahawa kolesterol adalah salah satu pembunuh senyap, bersama-sama dengan tekanan darah tinggi dan diabetes. Seringkali penghidap tidak menunjukan sebarang simptom yang khusus.

“Namun, kolesterol boleh ditangani jika ia dikesan awal. Jika telah dikesan, ikuti pelan rawatan yang disyorkan doktor dan pengubahan gaya hidup boleh membantu mencegah masalah berkaitan jantung yang kronik.

"Kini terdapat rejim rawatan yang lebih mudah dan efektif disediakan. Pesakit harus bertanyakan pilihan rawatan terbaik daripada doktor mereka,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!