Anwar ke Indonesia esok bagi hadiri sidang kemuncak ASEAN
LABUAN BAJO - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-42 di bandar Manggarai Barat, kepulauan Flores di provinsi Nusa Tenggara Timur bermula Selasa yang terbahagi kepada sesi pleno dan sesi pemukiman.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, perdana menteri turut akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) dan Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
"Kedua-dua sidang kemuncak ini akan mengukuhkan lagi kerjasama yang menyasarkan kepada peningkatan aktiviti rentas sempadan dalam usaha meningkatkan lagi nilai perdagangan dan pelaburan di wilayah-wilayah itu," katanya dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri dijangka turut menghadiri sesi pertemuan dengan wakil-wakil Belia ASEAN, Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly - AIPA), Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN Business Advisory Council - ABAC) dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi Mengenai Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025 (High-Level Task Force on ASEAN Community’s Post-2025 Vision - HLTF-ACV).
Menurut Zambry, sidang kemuncak kali ini merupakan platform yang baik bagi semua negara anggota ASEAN untuk membincangkan hala tuju ASEAN dan usaha-usaha pembangunan Komuniti ASEAN, yang merangkumi Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025 serta Pelan-Pelan Tindakan untuk ketiga-tiga tonggak Komuniti ASEAN, iaitu politik-keselamatan, ekonomi dan sosio-budaya.
Beliau yang tiba di sini pada Isnin akan turut menghadiri tiga mesyuarat persediaan pada Selasa iaitu Mesyuarat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN, Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN Ke-26 dan Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN Ke-33.
Menteri-menteri Luar Negeri serantau bakal membincangkan pelbagai isu selain mempertimbangkan dan mengesahkan pelbagai draf laporan serta dokumen yang akan dikemukakan untuk keputusan para pemimpin ASEAN di Sidang Kemuncak ke 41.
Ini termasuk keputusan mengenai Pelan Hala Tuju penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN, perbincangan perkembangan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara mengenai situasi di Myanmar dan isu-isu semasa yang menyentuh kepentingan bersama dan mungkin memberikan impak terhadap ASEAN, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!