Terlalu ghairah buat karate berputih mata
SKUAD karate negara terlepas peluang mempertahankan pingat emas dalam acara kumite berpasukan lelaki pada Sukan SEA 2023 apabila tumpas tipis 2-3 kepada Vietnam dalam aksi final di Pusat Konvensyen Chroy Changvar, pada Isnin.
Malaysia sepatutnya berpeluang membawa pulang pingat emas dalam acara itu, namun kesilapan dilakukan beberapa wakil negara dan atlet berpengalaman, S Prem Kumar, yang turun dalam pertarungan terakhir membuatkan skuad negara berputih mata dan sekadar meraih perak.
Beliau terlalu ghairah untuk meraikan kejayaan ketika mendahului lawan sedangkan pertembungan masih berbaki beberapa saat, dan kesempatan itu digunakan wakil dari Vietnam untuk mendapatkan mata kemenangan.
Sebaik pertarungan berakhir, Prem Kumar ternyata tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.
Ketika ditemui pemberita, jurulatih kumite negara, Tamer Abdelraouf Mourssy berharap barisan atlet negara mendapat pengajaran berguna akibat kesilapan tersebut dan tidak mengulanginya pada kejohanan akan datang.
“Saya sudah memberitahu mereka supaya tidak meraikan kemenangan sehingga pertarungan tamat.
“Mereka sepatutnya memberi fokus dan tidak meraikannya terlalu cepat kerana perlawanan masih berlangsung,” kata jurulatih dari Mesir itu.
Bagaimanapun dia berpuas hati dengan pencapaian skuad negara pada temasya kali ini apabila membawa pulang empat pingat emas sekali gus melepasi sasaran tiga emas.
Tuan rumah, Kemboja dan Indonesia berkongsi pingat gangsa dalam acara berkenaan.
Sementara itu, Malaysia berkongsi gangsa dengan Indonesia dalam acara kumite berpasukan wanita selepas tumpas di peringkat separuh akhir.
Pingat emas dimenangi Vietnam yang menewaskan Filipina pada aksi final.
Empat pingat emas dimenangi atlet negara dalam acara karate yang berakhir hari ini, adalah menerusi C. Shahmalarani dalam acara kumite wanita bawah 50kg, diikuti Prem Kumar (lelaki bawah 55kg), H Sureeya Sankar (lelaki bawah 60kg) dan R Sharmendran (lelaki bawah 75kg). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!