Sejarah edisi lepas berulang, Filipina aibkan Malaysia 3-0
PRESTASI hambar skuad badminton wanita negara pada Sukan SEA 2023 berulang sekali lagi apabila gagal melangkah ke separuh akhir acara berpasukan selepas tewas mengejut 3-0 kepada Filipina, pada Isnin.
Selepas tewas 3-1 kepada tuan rumah Vietnam di peringkat suku akhir pada edisi Vietnam 2021 tahun lalu, nasib sama menimpa skuad negara di Dewan Badminton Morodok Techo, Stadium Nasional.
Pemain perseorangan pertama, Mikaela Joy De Guzman, yang berada di ranking ke-184 dunia, menyumbang mata pertama kepada Filipna apabila mengambil masa 48 minit untuk menyingkirkan wakil negara, Tan Zhing Yi, 24-22, 21-18.
Beregu wanita negara, Low Yeen Tuan-Valeree Siow untuk menyamakan kedudukan tidak kesampaian apabila bergelut dengan beregu utama Filipina, Alyssa YYsabel Leonardo-Thea Marie Pomar, sebelum tewas 22-20, 19-21, 22-24, dalam pertarungan selama 62 minit.
Ketinggalan 2-0 tersebut memberikan tekanan kepada pemain perseorangan kedua, Siti Nurshuhaini Azman, untuk menghidupkan peluang skuad negara mengintai slot separuh akhir tetapi aksi dalam keadaan gugup menyebabkan beliau dengan mudah tewas 21-16, 21-18 kepada Maria Bianca Ysabel Carlos.
Sebagai rekod, Filipina bakal bertemu pemenang antara Indonesia dan Kemboja pada separuh akhir.
Sementara itu, Siti Nurshuhaini, ketika ditemui selepas perlawanan berkata, dia kecewa kerana tidak dapat memberi inspirasi kepada kebangkitan Malaysia selepas tidak dapat menahan tekanan besar selepas ketinggalan 2-0 sebelum melangkah ke gelanggang.
“Agak kecewa, tahun lalu saya turun sebagai perseorangan pertama (menentang Vietnam) tetapi gagal sumbang mata tapi tahun ini saya jadi penentu namun tak berjaya juga.
“Saya rasa boleh main namun tekanan terlalu tinggi bila pasukan ketinggalan... prestasi saya tidak menjadi dengan melakukan banyak kesilapan. Saya berazam memperbaiki kesilapan pada acara individu bermula Jumaat ini,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!