Zaidatul tamat kemarau enam tahun, raih pingat gangsa
RATU pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan kemarau enam tahun pingat acara 200 meter (m) wanita selepas merangkul gangsa pada Sukan SEA 2023, di sini pada Isnin.
Zaidatul yang kali terakhir meraih pingat acara berkenaan pada edisi Kuala Lumpur 2017 dengan merangkul perak, merekodkan masa 23.60 saat (s) di belakang pelari Singapura, Veronica Shanti Pereira yang berjaya mempertahankan emasnya menerusi catatan 22.69s dan perak pula disambar Thi Nhi Yen Tran dari Vietnam (23.54s).
Beliau mengakui pada mulanya tidak mahu menyertai acara itu setelah pulang dengan tangan kosong pada dua edisi lepas namun dorongan jurulatih Mohd Poad Md Kassim, membuatkannya untuk terus berlari pada Sukan SEA 2023.
"Hari ini saya hanya menyasarkan final sahaja namun syukur Alhamdulillah (menang gangsa) kerana saya dah lama tak dapat medal individu,” katanya kepada pemberita, di sini.
Justeru, pemegang rekod kebangsaan dengan catatan masa 11.35 saat dilakukan di Afrika Selatan pada 2017, berharap agar pencapaiannya pada hari ini dapat membakar semangatnya meraih pingat acara 4x100m wanita dijadual pada Rabu ini.
Dalam pada itu, Jonathan Nyepa terlepas peluang menaiki podium selepas sekadar meraih tempat keempat bagi acara 200m dengan catatan 21.31s.
Emas dimenangi pelari Thailand Soraoat Dapbang dengan catatan 20.62s diikuti perak oleh Ngoc Nghia Ngan dari Vietnam (20.84s) dan gangsa dimiliki bekas juara dunia bawah 20 tahun, Lalu Muhammad Zohri dari Indonesia (21.02s).
Walaupun tidak berjaya membawa pulang pingat hari ini, Jonathan ketika ditemui tetap berpuas hati dengan lariannya di Kemboja dan mahu kembali fokus bagi acara 4x100m lelaki selepas ini. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!