Jawi, MAIWP anjur program Aidilfitri Malaysia Madani Sabtu ini
KUALA LUMPUR - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bersama gabungan masjid dan surau Jumaat serta Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan menganjurkan Program Aidilfitri Malaysia MADANI@Dataran Merdeka, Sabtu ini.
JAWI dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan program yang akan berlangsung di Dataran Merdeka di sini, bermula pukul 10 pagi hingga 12 tengah hari dijangka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sebanyak 120 masjid dan surau Jumaat akan mengambil bahagian termasuk dari Putrajaya dan Labuan serta beberapa rakan strategik yang lain dengan sasaran kehadiran 20,000 pengunjung.
"Melalui program ini, kami berhasrat menjalinkan silaturahim dalam kalangan masyarakat di Wilayah Persekutuan selain membentuk semangat kerjasama dan persaudaraan dalam kalangan Jawatankuasa Masjid di Wilayah Persekutuan,” menurut kenyataan itu.
Menurut JAWI, program itu juga memberi peluang kepada masyarakat yang kurang berkemampuan untuk merasai pelbagai juadah atas semangat muhibah dan perpaduan selain mempromosikan masjid-masjid di Wilayah Persekutuan sebagai pusat penyatuan ummah dan memperkenalkan keunikan makanan Malaysia kepada pelancong.
Kenyataan itu menambah pelbagai menu dan juadah akan disediakan oleh 120 gerai untuk dinikmati oleh para pengunjung dengan konsep first come, first served. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!