Asia dan Pasifik tidak bersedia hadapi bencana akibat iklim

Kebanyakan negara di Asia dan Pasifik tidak mempunyai kelengkapan menghadapi cuaca ekstrem dan bencana alam yang semakin meningkat. - Gambar hiasan
Kebanyakan negara di Asia dan Pasifik tidak mempunyai kelengkapan menghadapi cuaca ekstrem dan bencana alam yang semakin meningkat. - Gambar hiasan
A
A
A

BANGKOK - Kebanyakan negara di Asia dan Pasifik tidak mempunyai kelengkapan menghadapi cuaca ekstrem dan bencana alam yang semakin meningkat dan sebahagiannya disebabkan oleh perubahan iklim, menurut kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial untuk Asia dan Pasifik (ESCAP).

Laporan "The Race to Net Zero: Accelerating Climate Action in Asia and the Pacific" mendedahkan bahawa negara-negara di rantau ini kekurangan sumber kewangan yang besar untuk menyokong usaha penyesuaian dan mitigasi serta data yang diperlukan untuk tindakan iklim.

Dalam satu kenyataan, ESCAP memaklumkan sejak 60 tahun lalu, suhu di Asia dan Pasifik telah meningkat lebih cepat berbanding purata suhu global.

"Enam daripada 10 negara yang paling terjejas teruk akibat bencana berada di rantau ini, di mana sistem makanan terganggu, ekonomi terjejas, dan masyarakat terkesan.

"Laporan itu seterusnya menggariskan bahawa rantau ini mengalami kesan terburuk akibat perubahan iklim, ia juga menjadi penyumbang utama; menyumbang lebih separuh daripada pelepasan gas rumah hijau dunia.

"Keadaan ini kian memburuk apabila populasi bertambah dan ekonomi terus menggunakan bahan api fosil,” menurut kenyataan itu.

Tanpa tindakan tegas, pemanasan global akan kekal menjadi pemacu utama kemiskinan dan ketidaksamaan di rantau ini - akibat buruk menjejaskan seluruh benua dan negara membangun di kepulauan kecil Pasifik, menurut ESCAP.

Sementara itu, Setiausaha Eksekutif ESCAP, Armida Salsiah Alisjahbana berkata rantau Asia dan Pasifik bertanggungjawab terhadap lebih separuh daripada pelepasan gas rumah hijau global, dengan ekonomi sebahagian besarnya dikuasai oleh bahan api fosil dan perubahan iklim memburukkan lagi krisis kemiskinan dan menjejaskan pembangunan mampan.

"Sekarang adalah masa untuk meningkatkan tindak balas iklim di rantau ini.

"Jika keadaan mendesak, konteksnya mencabar. Langkah-langkah untuk menjadikan ekonomi Asia dan Pasifik pada penggunaan karbon rendah dan menyesuaikan diri serta menjadi lebih berdaya tahan terhadap kesan perubahan iklim perlu menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau mengakui bahawa kerajaan di rantau ini berusaha untuk mencapai karbon sifar dalam keadaan yang mencabar ekoran "polycrisis” semasa.

Oleh itu, kajian ESCAP menetapkan transformasi yang diperlukan membabitkan tiga sektor utama - tenaga, mobiliti dan logistik rendah karbon, serta perdagangan dan pelaburan antarabangsa bagi mencapai karbon sifar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!