Skuad chinlone lelaki negara tambah koleksi pingat
SKUAD chinlone lelaki negara menambah koleksi pingat apabila meraih gangsa acara linking pada Sukan SEA 2023 di Dewan Bola Keranjang Kompleks Olimpik,Kemboja pada Isnin.
Pasukan negara yang dibimbing jurulatih kelahiran Myanmar, Thu Ya Zaw, mengutip keseluruhan 314 mata selepas mengumpul 161 mata pada set pertama dan 153 di set kedua.
Pingat emas acara berkenaan dimenangi Laos yang mengumpul 419 mata, mengatasi Myanmar di tempat kedua yang mencatat 407 mata.
Sementara itu tuan rumah, Kemboja yang mengutip 268 mata berkongsi pingat gangsa bersama Malaysia.
Pengurus pasukan skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun berkata, dia berpuas hati pencapaian pemain negara berdasarkan persiapan singkat bagi menghadapi temasya kali ini walaupun meraih gangsa.
“Kita hanya membuat persiapan kira-kira dua minggu sebelum datang ke sini. Malah jurulatih dari Myanmar yang kita ambil, hanya tiba di tanah air pada pertengahan April.
“Berbanding pasukan lain, mereka sudah membuat persediaan sejak lebih enam bulan lepas,” katanya.
Sebagai rekod, skuad negara meraih pingat perak dalam acara same stroke. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!