Terima kasih atas sokongan semua
PENERJUN muda negara, Kimberly Bong Qian Ping menyifatkan kerjasama semua pihak membolehkannya merangkul pingat emas ke-10 negara dalam acara 3 meter (m) papan anjal wanita Sukan SEA Kemboja 2023 pada Isnin.
“Sejujurnya kejayaan pada hari ini juga hasil sokongan jurulatih saya, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Sukan Malaysia (MOM), yang sentiasa bekerja keras bersama-sama saya selama ini.
“Selain itu terima kasih juga kepada rakan-rakan sepasukan, keluarga dan rakan yang sentiasa memberikan sokongan untuk kejayaan pada hari ini,” katanya.
Pada aksi final yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Morodok Techo, penerjun muda berusia 20 tahun itu mengumpul 276.30 mata dalam keseluruhan lima terjunan untuk menewaskan lapan penerjun lain.
Pingat perak dimenangi atlet Indonesia Gladies Lariesa Garina Haga (273.10 mata) manakala seorang lagi wakil negara Ong Ker Ying (248.70 mata) membawa pulang gangsa.
Kejayaan Kimberly itu merupakan emas Sukan SEA pertamanya selepas membuat kemunculan di temasya sukan dwitahunan tersebut sejak edisi 2017 di Kuala Lumpur.
Atlet dari Sarawak itu juga mengekalkan penguasaan negara dalam acara 3m papan anjal wanita sejak Cheong Jun Hoong memenangi emas edisi 2011 di Palembang, Indonesia.
Edisi 2021 Vietnam di Hanoi tahun lalu, Kimberly meraih perak 1m papan anjal selepas menamatkan saingan di belakang Nur Dhabitah Sabri yang merangkul emas.
Selasa, giliran skuad penerjun lelaki negara turun beraksi dalam saingan 3m papan anjal.
Sebagai rekod, Persekutuan Renang Malaysia (MS) meletakkan sasaran tiga emas, tiga perak dan dua gangsa pada temasya edisi ke-32 kali ini.
Di bumi Kemboja kali ini MS menyandarkan harapan kepada enam penerjun muda dipacu dua penerjun elit, Muhammad Syafiq Puteh dan Gabriel Gilbert Daim.
Edisi Vietnam 2021 sebelum ini skuad terjun negara menepati ramalan apabila menyapu bersih semua lapan emas ditawarkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!