Perangai buruk orang Malaysia ketika di jalan raya

Gambar hiasan 123RF.
Gambar hiasan 123RF.
A
A
A

MERAK Jalanan yakin ramai yang stres ketika memandu di jalan raya. Bukan sahaja terpaksa menempuh kesesakan yang sering kali tidak tahu punca, tetapi juga sering berdepan dengan perangai buruk orang Malaysia di jalan raya.

Senarai perangai buruk itu memang panjang. Kalau Merak Jalanan nak cerita satu-satu, tiga hari pun takkan habis.

Pertama, tak boleh kena hon. Pemandu Malaysia cepat melenting dan mudah panas hati apabila dibunyikan hon di jalan raya.

Tak percaya? Cuba hon kereta di hadapan anda sekarang. Comfirm kena maki. Mungkin mereka rasa tercabar apabila kena hon terutama bunyi panjang dan berulang kali.

Dengan sekelip mata pemandu yang kena hon tadi akan bertukar menjadi samseng jalanan, memaki hamun, tunjuk isyarat lucah atau ajak bertumbuk.

Kedua, suka sangat memotong barisan ketika memasuki susur, lampu isyarat atau membayar tol. Merak Jalanan pun nak cepat sampai ke destinasi tetapi kenalah berdisiplin dan ikut giliran.

Lebih teruk, kebanyakan mereka memotong barisan dengan menggunakan lorong kecemasan. Dah dua kesalahan kat situ!

Ketiga, tak tahu guna lampu isyarat ketika membelok. Hang ingat orang boleh tahu hang nak membelok? Bagilah signal. Beli kereta mahal tapi tak tahu nak guna signal. Ini tabiat buruk paling banyak pada pemandu Malaysia.

Keempat, pandu perlahan di lorong kanan. Kalau nak bawa kereta perlahan, gunalah lorong sebelah kiri. Lorong kanan biarkan untuk kenderaan yang dipandu laju. Jangan sesakkan jalan raya dengan sikap pentingkan diri anda itu.

Kelima, ikut belakang kereta lain dengan rapat. Bila ada pemandu lain yang pandu perlahan di lorong kanan, mesti akan wujud satu spesies yang akan mencucuk dari belakang.

Merak Jalanan harap pembaca Sinar Harian yang ada tabiat buruk ini, silalah berubah dengan segera sebab dah ramai yang kena darah tinggi ketika memandu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!