Monsun Barat Daya dijangka bermula Isnin depan

Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan. - Gambar hiasan
Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Monsun Barat Daya dijangka bermula Isnin depan dan berterusan sehingga September tahun ini dengan kelembapan udara lebih rendah.

Sepanjang tempoh tersebut, bilangan hari tanpa hujan lebih banyak dan fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan pada Selasa berkata, semasa Monsun Barat Daya, angin bertiup secara konsisten dari arah barat daya dengan kelembapan udara lebih rendah dan keadaan atmosfera yang stabil.

"Ini menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini.

"Jadi kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan. Keadaan tersebut menyebabkan taburan hujan yang lebih rendah," katanya.

Jelas kenyataan itu lagi, bagaimanapun, hujan lebat berserta angin kencang dan petir berikutan fenomena garis badai (squall line) masih boleh berlaku di pantai barat Semenanjung dan barat Sabah terutama pada awal pagi.

Menurut MetMalaysia, pembakaran terbuka haruslah dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar selain orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh tersebut.

Maklumat cuaca terkini boleh diperoleh melalui laman web, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi Jabatan dan Hotline Jabatan Meteorologi Malaysia 1-300-221638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!