'Rupanya dah lama rancang nak lari '
TAMPIN - Tiga pelajar tahfiz yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu telah lama merancang untuk melarikan diri dari madrasah berkenaan yang terletak di Repah di sini.
Pada awalnya lima pelajar merancang melarikan diri namun hanya tiga orang yang nekad berbuat demikian selepas siasatan dilakukan pengurusan madrasah itu.
Pengetua madrasah, Suhaimi Othman berkata, kelima-lima pelajar terbabit merancang untuk keluar daripada pusat tahfiz itu dan mencari kerja di Kuala Lumpur.
"Pada awal perancangan mereka berlima mahu keluar dari situ, menuju ke Bahau dan Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Tapi, dua pelajar membatalkan niatnya kerana tidak yakin dapat kerja berikutan usia yang masih muda.
"Hanya mereka bertiga yang meneruskan niat melarikan diri. Dari rakan mereka itulah kita tahu yang sebenarnya mereka selama ini sudah merancang lebih awal, namun baru hari Rabu lepas benar-benar melakukannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini, hari ini.
Menurutnya, kejadian itu pertama kali berlaku sepanjang lebih 20 tahun pusat tahfiz itu beroperasi dan tidak menyang ketiga-tiga pelajar berkenaan nekad sedangkan tidak mempunyai duit poket.
"Saya tak sangka mereka boleh pergi sejauh ini kerana mereka tiada duit poket, paling banyak pun mereka boleh pegang duit sebanyak RM10 hingga RM15 saja. Kalau ada lebih daripada itu ustaz mereka akan simpankan. Kami bimbang keadaan mereka di luar sana.
"Harapnya mereka dapat ditemui tak lama lagi dan kami juga ada minta kawan-kawan di tempat lain untuk carikan. Sebelum ini ada juga kes pelajar melarikan diri tetapi dalam tempoh 24 jam mereka balik ke rumah atau dibawa pulang ke madrasah," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Pulanglah Umair, keluarga risaukan awak'
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!