KDN siapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian

Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Maritim pada Selasa.
Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Ibu Pejabat Maritim pada Selasa.
A
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyiapkan Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) dalam usaha mengenal pasti jumlah sebenar pelarian dan pemohon suaka Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang berada di Malaysia.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, KDN menerusi Jabatan Imigresen Malaysia telah diberi tanggungjawab oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk melaksanakan pendaftaran tersebut.

"Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat jemaah menteri pada 11 April lalu," katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Majlis Sambutan Hari Raya Ibu Pejabat Maritim Malaysia di sini pada Selasa.

Menurutnya, negara tidak mempunyai angka sebenar jumlah pelarian dan pemohon suaka UNCHR berikutan Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Status Pelarian 1951 atau Protokol Status Pelarian 1967.

"Oleh itu kita tidak ada perkongsian data dengan UNHCR walaupun mereka mengatakan 185,760 orang pelarian dan pemohon suaka yang tinggal di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kementerian optimis Imigresen dapat melaksanakan pendaftaran pelarian dan pemohon suaka kerana jabatan itu mempunyai pejabat di seluruh negara.

"Imigresen mempunyai 19 depoh tahanan yang mana ia mungkin juga menempatkan pelarian dan pemohon suaka.

"Jadi kita akan mulakan," katanya.

Ujar Saifuddin, Sistem Pengesan Maklumat Pelarian (TRIS) yang dilaksanakan sebelum ini hanya dapat mendaftarkan sekitar 30,000 pelarian.

Pada Isnin, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa UNHCR menjalankan tanggungjawab mereka terhadap pelarian dan pemohon suaka di negara ini.

Kerajaan juga mempertimbangkan untuk mengadakan suatu perjanjian bersama UNHCR berhubung peranan dan tanggungjawab suruhanjaya tersebut dalam negara ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai ketidakpuasan hati penduduk tempatan di Bagan Dalam, Pulau Pinang terhadap sekumpulan pelarian Rohingya yang menetap di sebuah rumah pangsa kos rendah di situ, Saifuddin menasihati agar semua pihak tidak mengambil undang-undang di tangan sendiri.

"Mana-mana pihak tidak boleh mengambil tindakan di tangan sendiri. Dalam hal ini ia (tindakan) mestilah dilaksanakan oleh polis dan Imigresen," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!