MCM agih bantuan gempa bumi RM200,000 ke Turkiye, Syria

(Dari kiri) Mohd Johari, Zulkifli, Tengku Fazli dan Asma' berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0
(Dari kiri) Mohd Johari, Zulkifli, Tengku Fazli dan Asma' berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0
A
A
A

SHAH ALAM - Muslim Care Malaysia (MCM), Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care berlepas ke Turkiye bagi misi kemanusiaan kali keempat ke negara tersebut bagi mengagihkan bantuan berjumlah RM200,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia.

Antara bantuan diberikan adalah pengagihan pek makanan, pakaian dan memperbaiki kerosakan rumah beberapa orang mangsa gempa yang telah dikenal pasti.

Pasukan misi itu dianggotai oleh Timbalan Presiden MCM, Mohd Johari Ismail, pendakwah popular, Asma’ Harun dan suami yang juga Pengerusi Sahabat Amal Care dan Timbalan Pengerusi Yayasan Al Hijrah, Tengku Fazli Tengku Yahya serta empat petugas media bagi mewakili dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Menurut Presiden MCM, Zulkifli Wahijan, nilai keseluruhan bagi keempat-empat misi bantuan adalah berjumlah lebih RM1 juta dan ia merupakan sumbangan hasil kutipan daripada rakyat Malaysia kepada mangsa gempa bumi di Turkiye dan Syria.

“Dalam pada itu MCM juga berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Ustazah Asma’ Harun dan dua NGO yang dinaunginya iaitu Yayasan Al Hijrah dan Sahabat Amal Care.

“Kerjasama bersama pendakwah, NGO dan pelbagai pihak lain menunjukkan bahawa mereka percaya dengan gerak kerja MCM dalam menyalurkan bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Barisan sukarelawan yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0 MCM.
Barisan sukarelawan yang menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Syria dan Turkiye 4.0 MCM.

Dalam pada itu, ketua misi, Mohd Johari berkata, pada mulanya Misi Bantuan Kemanusian Syria dan Turkiye 4.0 dirancang untuk ke Syria, namun wakil MCM di Turkiye memaklumkan kebenaran memasuki negara berkenaan dibekukan buat sementara waktu.

Jelas beliau, program itu terpaksa ditukar dengan memberi tumpuan kepada mangsa gempa bumi membabitkan pelarian Syria yang berada di Turkiye khususnya di Antakya, Kahramanmaras dan Iskenderun.

Sementara itu, Asma’ berkata, pihaknya memilih MCM sebagai rakan kerjasama adalah untuk merealisasikan impian dalam menghantar bantuan ke Syria.

“Saya yakin dengan integriti dan pengalaman luas yang MCM dalam misi kemanusiaan di peringkat antarabangsa.

“Secara peribadi, saya juga sudah lama menyimpan hasrat untuk ke Syria bagi membantu rakyat negara itu yang telah 12 tahun menderita akibat peperangan dan terbaharu dilanda gempa bumi yang dahsyat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!