Projek Kebun Kerang naik taraf kehidupan 180 nelayan

Muhamad Akmal (tengah) bersama nelayan yang menyertai Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Kebun Kerang di Jalan Hang Tuah di sini, pada Selasa.
Muhamad Akmal (tengah) bersama nelayan yang menyertai Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Kebun Kerang di Jalan Hang Tuah di sini, pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Projek Kebun Kerang yang akan diusahakan di kawasan seluas 550 hektar di perairan negeri ini mampu memberi manfaat kepada seramai 180 nelayan bagi meningkatkan taraf kehidupan.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, projek yang akan bermula pada Jun depan itu mampu mengeluarkan hasil sebanyak 750 tan matrik pada Januari 2024.

Menurutnya, nelayan golongan B40 dapat keluar dari kepompong mereka dan menjana pendapatan lumayan dengan hasil seperti kupang dan kerang kerana tidak mustahil akan datang hasil tangkapan ikan semakin berkurangan.

"Dengan hasil tuaian (kerang) dapat menambahkan pendapatan nelayan 100 peratus dan mereka boleh naik taraf daripada B40 ke M40.

"Ada bukti di Pulau Pinang dan Perak (projek kebun kerang), nelayan-nelayan ini tidak jadi nelayan dan jadi pengusaha kebun kerang, jadi ini yang kita nak, kita nak lakukan benda yang sama juga di Melaka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Kursus Pengurusan dan Watikah Lantikan Peserta Kebun Kerang Negeri Melaka, di Jalan Hang Tuah di sini, pada Selasa.

Jelas beliau, projek sepanjang perairan Merlimau hingga Sebatu di Jasin akan dibahagikan kepada 18 lot ternakan yang membabitkan 10 peserta di setiap lot.

Ujar beliau, ini merupakan salah satu usaha kerajaan negeri bersama Jabatan Perikanan untuk membantu nelayan meningkatkan pendapatan mereka dengan tidak bergantung semata-semata melalui hasil tangkapan ikan.

"Kerajaan negeri juga sedang rancang projek kerang tu diperluaskan bukan sahaja di perairan Merlimau dan Sebatu malah di seluruh perairan di negeri ini.

"Ini bagi merancakkan lagi sektor akuakultur membabitkan penternakan kupang dan kerang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!