Sembilan terbunuh serangan udara Israel di Gaza

Rakyat Palestin mengusung mayat anggota gerakan Jihad Islam di Hospital Shifa selepas serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Selasa. - Foto EPA
Rakyat Palestin mengusung mayat anggota gerakan Jihad Islam di Hospital Shifa selepas serangan udara Israel di Semenanjung Gaza pada Selasa. - Foto EPA
A
A
A
GAZA - Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan lebih 10 cedera dalam serangan udara Israel yang menyasarkan anggota gerakan Jihad Islam Palestin di Semenanjung Gaza pada awal Selasa, kata pegawai perubatan.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, tujuh mayat dibawa ke Hospital Shifa di Bandar Gaza dan dua lagi ke hospital di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan akhbar kementerian itu berkata, lebih 10 rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak cedera dalam serangan udara Israel ke atas beberapa bangunan di Bandar Gaza dan bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Sumber memberitahu Xinhua bahawa antara yang maut ialah Tareq Izel Dein, jurucakap pertubuhan itu di wilayah Palestin, isteri dan dua anaknya dan dua lagi pemimpin kanan tentera pejuang itu.

Sumber dan saksi Palestin berkata, dron Israel mengebom beberapa bangunan pada awal pagi Selasa di Bandar Gaza dan bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza.

Mereka berkata, sasaran pertama adalah pangsapuri kediaman di menara 'Dawood' di kejiranan Al-Rimal di Kota Gaza manakala sasaran lain adalah sebuah bangunan di bandar Rafah.

Militan PIJ berada di dua bangunan yang dibom oleh peluru berpandu dron Israel, kata sumber itu, sambil menambah beberapa letupan tiba-tiba kedengaran di Gaza ketika dron tentera Israel berlegar di kawasan pantai.

Sementara itu, jurucakap tentera Israel dalam satu kenyataan ringkas berkata, tentera Israel mengebom sasaran tertentu di Semenanjung Gaza tanpa mendedahkan butiran lanjut.

Tentera Israel berkata, berdasarkan penilaian keadaan, tentera telah mengarahkan penduduk Israel yang tinggal berhampiran Semenanjung Gaza supaya berlindung di tempat perlindungan bom pada jarak 40km kerana bimbang terkena tembakan roket dari Gaza. - Bernama/ Xinhua

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!