[VIDEO] Anggota APM maut dipatuk ular bakal bertunang Aidiladha ini

Noriah menunjukkan gambar anak lelakinya, Lans Koperal Mohd Idris yang meninggal dunia pada Selasa selepas dua hari dirawat akibat dipatuk ular tedung.
Noriah menunjukkan gambar anak lelakinya, Lans Koperal Mohd Idris yang meninggal dunia pada Selasa selepas dua hari dirawat akibat dipatuk ular tedung.
A
A
A

BACHOK - Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang maut dipatuk ular tedung ketika sedang bertugas bakal mengikat tali pertunangan pada Aidiladha ini.

Lans Koperal Mohd Idris Abdul Samad, 33, meninggal dunia pada jam 9.30 pagi Selasa ketika sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Menurut ibunya, Noriah Awang, 67, anak lelaki daripada lima beradik itu akan bertunang dengan gadis pilihan hatinya yang berasal dari Pasir Tumboh, Kota Bharu.

"Arwah minat dengan haiwan reptilia ini sejak kecil dan dia mempunyai kemahiran mengendalikan haiwan berbisa itu.

"Dia pernah kehilangan jari tengah pada 2017 akibat dipatuk ular.

"Saya sentiasa menasihati arwah supaya berhati-hati ketika bertugas dan tidak menyangka perkara yang dibimbangkan selama ini terjadi," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kemasin.

Mohd Adzhar (kanan) hadir di pengkebumian Lans Korperal Mohd Idris di Tanah Perkuburan Islam Kemasin.
Mohd Adzhar (kanan) hadir di pengkebumian Lans Korperal Mohd Idris di Tanah Perkuburan Islam Kemasin.

Menurut dia, Mohd Idris dipatuk ular pada jam 8 pagi Ahad ketika memindahkan ular dari guni ke sangkar.

Ujar Noriah, anak lelakinya itu dipatuk di tangan kanan, tempat sama Allahyarham pernah kena sebelum ini.

"Pada Isnin malam sekitar jam 11, dia beritahu merasa tidak selesa di bahagian dada.

"Pada jam 3 pagi, anak saya sudah kritikal kerana bisa ular telah menyerang bahagian buang pinggangnya," katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Kelantan, Mohd Adzhar Mujab menberitahu, Mohd Idris sudah berkhidmat selama 14 tahun sebagai anggota APM di Kota Bharu.

Menurut beliau, Allahyarham merupakan seorang anggota yang komited dan terlatih dalam menangkap haiwan berbisa.

Jenazah lans koperal itu dikebumikan selepas solat Zohor diiringi keluarga, rakan serta anggota APM Kelantan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!