Michelle beri bayangan lepas jawatan CEO ABM
KETUA Pegawai Eksekutif Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai memberi bayangan sedia mengundur diri jika dirinya gagal mencetuskan impak terbaik ketika prestasi tidak menentu skuad badminton negara di Sukan SEA Kemboja ketika ini.
Sesuatu yang tidak disangka terjadi dalam sejarah badminton apabila pasukan wanita negara dikejutkan Filipina setelah tewas 0-3 dalam pusingan awal badminton berpasukan pada Isnin.
Michelle juga dapat merasakan kekecewaan yang dialami para pemain dan turut memahami kemarahan yang dirasai peminat badminton negara.
“Bukan tidak menghormati Filipina tetapi kekalahan semalam (Isnin) tidak boleh diterima.
“Kami sedar bahawa pemain adalah muda tetapi ia bukan alasan kerana sesiapa yang dihantar untuk menyarung jersi Malaysia mereka perlu beraksi dengan baik.
“Ketika mengkaji kekalahan kepada Filipina, ia menjadi masa yang terbaik buat kami termasuk saya untuk melihat diri sendiri dan berlaku jujur. Adakah kami masih mampu untuk memberikan nilai tambah kepada para pemain.
“Jika sudah tidak dapat memberikan impak kepada pemain, kami perlu berundur dan bawa individu lain yang boleh membawa idea baharu,” katanya dalam sidang media yang turut dihadiri barisan kejurulatihan ABM pada Selasa.
Barisan pengurusan dan kejurulatihan ABM itu termasuk Pengarah Prestasi Tinggi, Dr. Tim Jones, Wong Choong Hann (Pengarah Kejurulatihan Perseorangan) dan Rexy Mainaky (Pengarah Kejurulatihan Beregu).
Menurut Michelle, meskipun memiliki perancangan jangka panjang yang dilihat mampu menghasilkan keputusan dimahukan, beliau tanpa berselindung mahu melihat pencapaian dalam tempoh terdekat dijelmakan.
"Perancangan jangka panjang memang ada tetapi mahu tengok juga perubahan dalam tempoh tiga atau enam bulan. Secara jujur, perancangan jangka panjang tidak akan nampak sekarang kerana ia memerlukan masa," katanya.
Semalam, skuad badminton wanita negara sekali lagi mengulangi aksi mengecewakan pada edisi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam sebelum ini selepas tersekat di saingan suku akhir acara badminton berpasukan.
Kekalahan kepada Filipina itu menyaksikan skuad wanita tersingkir dan tidak dapat mengulangi pencapaian layak ke separuh akhir ketika temasya di Hanoi yang menyaksikan Malaysia tewas 1-3 kepada Vietnam.
Kekalahan itu menjejaskan semangat serta moral para pemain dan sesuatu perlu dilakukan untuk memastikan mereka kekal fokus untuk menghadapi acara individu sekali gus mampu menebus kekecewaan dalam acara berpasukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!