4.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dirampas

Mohd Nadzri (dua dari kanan) menunjukkan antara rokok yang dirampas dalam serbuan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaydia (JKDM) Terengganu di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu pada Sabtu lalu.
Mohd Nadzri (dua dari kanan) menunjukkan antara rokok yang dirampas dalam serbuan dilakukan Jabatan Kastam Diraja Malaydia (JKDM) Terengganu di Kampung Pengkalan Gelap, Setiu pada Sabtu lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebanyak 4.7 juta batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai hampir RM4 juta dirampas dalam serbuan di Kampung Pengkalan Gelap di Setiu, pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaydia (Kastam) Terengganu, Mohd Nadzri Ariffin berkata, serbuan itu dilakukan pegawai dan anggota Bahagian Penguatkuasaan Kastam kira-kira jam 1.30 tengah hari.

"Hasil maklumat orang awam dan risikan yang dilakukan di beberapa lokasi dikenalpasti sebagai tempat pendaratan rokok tidak sah di sekitar daerah Setiu membawa kepada aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan.

"Serbuan di lokasi tersebut berjaya merampas rokok tak berkastam dan kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok seludup.

"Bagaimanapun, ketika pasukan tiba di sana, suspek berjaya melarikan diri ke kawasan belukar nipah berpaya menghala ke sungai dengan meninggalkan semua kenderaan yang digunakan untuk mengangkut barang berkenaan," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Pejabat JKDM Terengganu, di sini pada Selasa.

Menurut beliau, modus operandi suspek membawa masuk rokok tersebut dari negara jiran menggunakan bot fiber sebelum dipindahkan ke dalam lori untuk diangkut dan dipasarkan khususnya di pasaran Pantai Timur dan Lembah Klang.

"Hasil siasatan awal mendapati aktiviti berkenaan didalangi orang tempatan. Kita masih lagi mengenalpasti pemilik kenderaan yang digunakan untuk mengangkut rokok tak berkastam dan penglibatan mereka dalam aktiviti ini.

"Dalam serbuan itu, kita turut menyita dua lori dan sebuah bot fiber serta dua enjin bernilai RM260,000," ujar beliau.

Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai barang atau RM10,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih daripada 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar atau dipenjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!