Lynas tak tutup, cuma C&L tak dibenar selepas 31 Disember
KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak akan menutup operasi kilang Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas), sebaliknya syarikat itu cuma tidak dibenarkan menjalankan aktiviti ‘cracking dan leaching’ (C&L) di negara ini selepas 31 Disember, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang.
Beliau berkata, keputusan melanjutkan tempoh kilang untuk menjalankan aktiviti C&L untuk enam bulan lagi adalah bagi mengelak ia menjejaskan rantaian bekalan nadir bumi di peringkat global.
Katanya, lanjutan itu juga bagi memberi masa kepada Lynas untuk menyiapkan loji C&L syarikat itu di Australia yang masih dalam pembinaan.
"Loji mereka di Kalgoorlie, Australia Barat hampir siap serta lanjutan tempoh ini mengambil kira sekiranya mereka tidak dapat siap (loji) sebelum Julai,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program NGO@Makerthon di Kompleks Komuniti Muhibbah, di sini hari ini.
Sebelum ini, MOSTI memaklumkan rayuan Lynas untuk menggugurkan empat syarat lesen yang ditetapkan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) ditolak selepas satu sesi pendengaran diadakan pada 28 April lalu bagi mendengar rayuan Lynas berhubung keputusan itu.
Ahad lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan bahawa kerajaan telah memberi Lynas tempoh lanjutan enam bulan untuk membolehkan syarikat itu memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.
Mengenai Program NGO@Makerthon itu, Lih Kang berkata, ia bertujuan membantu meningkatkan taraf sosioekonomi 20 komuniti Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan memperkasa pengetahuan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) di kalangan mereka secara berterusan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!